KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Laluan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) menunjukkan peningkatan aliran trafik di arah utara dan selatan tetapi masih lagi terkawal.
Menurut petugas Pusat Kawalan Plus, jumlah kenderaan di kedua-dua arah tersebut semakin bertambah sejak tengah hari tadi.
“Di arah selatan, trafik meningkat di Seremban sementara di arah utara kenderaan semakin bertambah di Slim River dan Terowong Menora menuju ke Kuala Kangsar, Perak” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, terdapat kemalangan di Km. 228 arah selatan dari Senai ke Kulai, Johor membabitkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 3.30 petang tadi dan kenderaan terlibat telah diubah ke lorong kecemasan, dan trafik kembali lancar.
Sementara itu, laporan trafik di Twitter Plus pada pukul 3.50 petang, berlaku kemalangan di Km 292.2 arah utara dari Putra Mahkota ke Bangi, Selangor.
Twitter Plus turut melaporkan pada pukul 3.13 petang, berlaku kemalangan di Km 210 arah selatan dari Taiping ke Changkat Jering, Perak.