Ketika ramai bergembira meraikan Syawal bersama keluarga tercinta, tidak kurang yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana tuntutan tugas.
Di sentul, lebih 100 anggota polis bertugas di sekitar ibu negara berkumpul untuk bersama Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, menyambut lebaran.
Sekalipun terpaksa beraya dengan memakai pakaian seragam, namun suasana tidak kurang meriahnya.
Sambil bermaaf-maafan sesama mereka, pelbagai juadah disediakan.
Konstabel Siti Munirah Rozali: “Perasaan tu memang sedihlah. Semua keluarga sibuk bertanya kenapa tak balik tapi diaorang pun mesti faham lah kerja macam ni. Ini kali ke-4 tak balik kampung.”
Sumbangan kuih raya turut disampaikan kepada semua anggota terbabit.
Manakala di Hospital Kuala Lumpur, tidak kurang petugas yang terpaksa melupakan seketika sambutan 1 Syawal.
Walaupun terpaksa berhadapan dan bersiap sedia menerima kes kecemasan, amanah perlu diteruskan.
Kunjungan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sedikit sebanyak memeriahkan suasana.
Zulia Ramli, Jururawat Terlatih: “Rasa sedih juga tinggalkan anak-anak di rumah, tapi kerana bertugas untuk pesakit-pesakit kita, tanggungjawab kita semua.”