SEREMBAN — Kerajaan sentiasa memahami denyut nadi dan derita rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, kepimpinan negara tidak pernah melupakan permasalahan dihadapi rakyat, malah akan membantu sebaik mungkin dalam segala aspek.
“Hari ini, saya menziarahi beberapa rumah, dan melihat sendiri keadaan mereka dan bagaimana kita boleh tolong.
“Ada dalam kalangan rumah yang kita lawat itu tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Jejak Asnaf Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.
Katanya dalam kunjungan tersebut beliau menemui penduduk yang menghidapi pelbagai masalah kesihatan seperti sakit buah pinggang dan kanser, malah tidak terkecuali golongan warga emas.
Ditanya sama ada JKM akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu mengikut prosedur operasi standard (SOP).