Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan kesedian Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya yang jelas bukan sahaja menghasut bahkan menghina Institusi Raja-Raja Melayu yang turut menampilkan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai salah seorang panelisnya.
Persoalannya apa akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai dan diangkat ke Pejabat Peguam Negara? Apakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri?
Sebab itulah adalah lebih beretika jika Tommy Thomas meletakkan jawatan selaku Peguam Negara sebelum dipecat oleh DYMM SPB Yang Dipertuan Agong. Desakan Pemuda UMNO ini adalah munasabah malah amat selari dengan peruntukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Bagi Pemuda UMNO, Tommy Thomas sudah tidak layak memegang jawatan Peguam Negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat bahkan langsung tidak mempertahankan Raja-Raja Melayu tatkala panelis Forum menyalahgunakan kebebasan bersuara yang mereka miliki untuk menukar forum awam ini menjadi satu medan terbuka untuk membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu di hadapan Peguam Negara tersebut.
Tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja Melayu ini adalah:
(1) Mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.
(2) Mendakwa Raja-Raja Melayu dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British.
(3) Mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.
Bagaimana mungkin Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dengan baik dari sudut undang-undang bila beliau langsung gagal bersuara malah bersekongkol bila perlanggaran undang-undang membabitkan Baginda dan institusi Raja-Raja Melayu berlaku di hadapan beliau.
Sewajarnya Peguam Negara tidak perlu hadir bersekongkol bahkan sepatutnya menasihatkan penganjuran forum awam ini dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Kabinet memutuskan bahawa Kerajaan Malaysia akan menarik balik ratifikasi ke atas Statut Rom.
Justeru sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Tommy Thomas meletakkan jawatan secara terhormat kerana ternyata telah membelakangi DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan Kerajaan Malaysia yang telah membuat keputusan menarik balik ratifikasi Statut Rom ini.
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
POLIS SIASAT TAPI SIAPA YANG NAK DAKWA PEGUAM NEGARA?Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan kesedian Pihak…
Gepostet von DR ASYRAF WAJDI DUSUKI am Montag, 29. April 2019