KETIKA ini mesti ramai daripada kita yang sudah pun bergerak pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Rabu ini.
Rata-rata mengambil kesempatan bercuti sehingga penghujung minggu ini dan pastinya sebelum pulang berhari raya antara perkara dilakukan adalah menutup semua suis serta plug sebagai langkah keselamatan dan mengelak pembaziran elektrik.
Bagaimanapun satu-satunya alat elektrik yang dibiarkan terpasang selama 24 jam adalah peti sejuk kerana tidak mahu bekalan makanan seperti sosej, daging burger, kentang goreng dan sebagainya di ruang sejuk beku rosak.
Tapi pernah tak anda terfikir, seminggu meninggalkan rumah terdapat kebarangkalian bekalan elektrik terputus selama beberapa hari? Apa pula akan jadi dengan bahan mentah di dalam peti sejuk?
Apabila pulang ke rumah kita pasti tidak perasan tentang bekalan elektrik yang terputus ketika ketiadaan kita. Situasi ini langsung membuatkan kita tidak tahu bahawa daging, ikan, ayam yang disimpan telah rosak namun kembali membeku.
Sudah tentu ia berbahaya sekiranya dimakan tidak kiralah untuk kanak-kanak atau orang dewasa.
Namun tak usah bimbang, perkongsian seorang lelaki dikenali sebagai Rizzal Abdullah di Facebook untuk mengelak kejadian tidak diingini memang cukup menarik.
Kata Rizzal, hanya menggunakan wang syiling ia boleh menyelamatkan seluruh keluarga daripada sebarang musibah akibat termakan makanan sudah rosak.
Tapi bagaimana wang syiling dapat mengekalkan kesegaran bahan mentah walaupun tanpa bekalan elektrik? Ini caranya yang hanya menggunakan gelas plastik lutsinar diisi air serta wang syiling.
1. Gelas plastik berisi air itu masukkan ke bahagian sejuk beku sehingga ia menjadi ais dan letakkan wang syiling di atasnya.
2. Selepas anda pulang daripada cuti panjang, cuba lihat syiling yang diletakkan di atas ais… sekiranya ia masih berada di atas bermakna tiada gangguan elektrik sepanjang ketiadaan anda di rumah.
3. Bagaimanapun sekiranya wang syiling itu berada di bahagian bawah bekas ia bermakna ais itu pernah cair sepenuhnya dan gangguan elektrik pernah berlaku.
4. Keadaan itu adalah sebagai kayu pengukur untuk menentukan sama ada bahan mentah anda berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.
5. Jika wang syiling berada di bahagian bawah gelas adalah lebih baik buang sahaja semua bahan mentah itu.