Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kemasukan ke sebuah portal yang memuat naik video lucah mirip seorang menteri kanan semalam.
Sehingga semalam, portal tersebut didapati memuat naik video berkenaan namun hari ini, portal tersebut tidak lagi boleh diakses.
Begitupun, tinjauan mendapati ia masih boleh diakses menggunakan telefon pintar tertentu namun berita dan video tersebut tidak lagi berada di dalam portal itu.
Memetik laporan The Star, sumber SKMM memaklumkan portal tersebut berulang kali dinasihatkan supaya menurunkan video berkenaan namun mereka tidak mengendahkannya.
Setakat ini, SKMM tidak menyatakan sebab terperinci mengapa portal itu disekat namun hanya memaparkan notis awam berkaitan sekatan itu.
MAKLUMAN
“Laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana kandungannya melanggar undang-undang negara,” menurut notis tersebut.
Video mirip seorang menteri itu tular di media sosial bermula awal pagi semalam dan kini masih lagi berlegar-legar dalam beberapa laman sosial dan WhatsApp.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak tahu mengenai penyebaran video ‘intim’ yang didakwa mirip seorang menteri Kabinetnya.
Katanya, beliau hanya tahu mengenai perkara itu selepas ditanya wartawan hari ini.
“Saya tidak tahu apa pun. Saya baru dengar.
“Saya kena baca dulu, kalau awak (wartawan) boleh bagi briefing. Boleh juga,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada seorang Timbalan Menteri awal pagi tadi membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip wajah menteri.
Muhammad Haziq Aziz, 27, memuat naik video berdurasi 30 saat itu dalam akaun Facebooknya kira-kira jam 2 pagi tadi dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat dalam hubungan seks dengannya.
Menurutnya, perlakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika pilihan raya kecil Parlimen Sandakan.
“Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama […] dalam video yang telah viral semalam.
“Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) […] di Hotel Four Points,” katanya dalam rakaman tersebut.
Sinar Harian tidak dapat menamakan menteri yang disebut oleh lelaki berkenaan dan kini dalam usaha mendapatkan respons daripada pihak berkuasa berhubung kenyataan lelaki itu.