(FMT) – Kumpulan aktivis reformasi, Otai Reformis menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menetapkan satu tarikh untuk beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana dia didakwa tidak mematuhi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
Pengerusi Dr Idris Ahmad berkata walaupun pengerusi PPBM itu berjanji akan menyerahkan jawatan tersebut dalam tempoh 2 tahun, tetapi Mahathir perlu menetapkan satu garis masa agar masyarakat dan pelabur lebih yakin akan masa depan kerajaan.
“Kenyataan Mahathir baru-baru ini, satu tempat beri kenyataan lain dan di satu tempat lagi kenyataannya pula lain. Ini meragukan,” katanya pada sidang media di sebuah restoran hari ini.
Beliau juga menarik perhatian kepada perasaan masyarakat terhadap pentadbiran sekarang dalam setahun ini.
“Jadi berapa lama kita akan menunggu? Sekurang-kurangnya kena ada garis masa, jadi pelabur atau masyarakat akan tahu jika hendak membuat pelaburan dan sebagainya.”
Menerusi persefahaman dalam kalangan pimpinan PH, Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah pada 3 Januari lalu berkata, perjanjian PH sebelum PRU-14 tidak menetapkan suatu tempoh masa untuk Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir.