Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin penularan video seks kontroversi yang dikaitkan dengannya dilakukan oleh pihak dalaman parti.
“Saya yakin… saya yakin,” jawabnya kepada pemberita ketika ditanya mengenai keyakinannya bahawa dalang yang tularkan video itu adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.
Beliau ditemui pada majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB dengan Must Ehsan Development Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu juga yakin penularan video kontroversi itu merupakan agenda politik pihak tertentu yang bertujuan mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik.
“Saya yakin, umum akan dapat melihat siapakah dalang dalam hal ini. Biar polis jalankan siasatan. Saya rasa tidak adil sekiranya (ada) individu (tertentu) membuat kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.
“Biarlah rakyat buat hukuman atas perkara ini dan sekarang terbukti, semakin kuat persepsi (yang) membayangkan pihak terlibat dalam konspirasi serta tohmahan ini,” katanya.
Mohamed Azmin turut menegaskan beliau akan memberikan keutamaan dan kerjasama penuh kepada polis untuk menyiasat penularan video seks kontroversi itu malah menyifatkan dakwaan yang dikaitkan dengannya sebagai kejam serta jahat.
Ditanya mengenai ada pihak mencadangkan beliau membuat sumpah laknat bagi menafikan kaitannya dengan video tersebut, Mohamed Azmin memberitahu sebarang tindakan yang diambilnya adalah berdasarkan kepada nasihat serta pandangan peguamnya.
“Sebab itu saya buat laporan qazaf dan ada proses-prosesnya (untuk membuat sumpah laknat) dan biarlah proses itu berjalan. Kita harus benarkan siasatan (oleh polis) terus dijalankan.
“Kita juga tidak harus mengganggu proses-proses itu dengan kenyataan dan tekanan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menjalankan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya pula mengenai laporan media Australia mengatakan video kontroversi itu tidak diubah secara digital, Mohamed Azmin berkata adalah tidak adil mana-mana pihak membuat sebarang kenyataan kerana siasatan mengenainya sedang dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat.
Katanya, sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab masih mahu membuat kenyataan seumpama itu, ia hanya dilihat sebagai mengganggu siasatan. — BERNAMA
Berita berkaitan:
https://pakdin.my/tag/bersemburit