Wakil rakyat Bukit Melawati membuat laporan polis terhadap satu akaun Facebook yang menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Juwairiya Zulkifli berkata, laporan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga dibuat terhadap ‘Aku Darah Anak Malaysia-ADAM’.
“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang.
“Kami akan memantau kes ini untuk menentukan langkah selanjutnya.
“Apa yang pasti adalah ia fitnah dan saya menegaskan saya tidak berada di lokasi itu pada tarikh didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin didakwa dilihat bersama Juwairiya dalam Hotel Four Point, Sandakan di Sabah dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 11 Mei lalu.
Dakwaan itu dikaitkan dengan insiden skandal seks bekas setiausaha sulit kanan timbalan menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki yang dikatakan melibatkan seorang menteri.
Amirudin semalam dilapor menafikan berada di Sabah seperti tarikh yang didakwa.