“Jadi, kita perlu tambah kerusi masing-masing pada PRU15 ini, manakala DAP sudah menang hampir semua kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada mereka,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) mensasarkan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen kawasan majoriti Melayu akan dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, kemenangan itu dan ditambah dengan kerusi sedia ada, akan dapat mengimbangi kerusi antara kaum.
Katanya, sebelum ini pihak parti lawan membuat pelbagai tuduhan termasuk mendakwa kerajaan sekarang diperintah oleh satu kaum sahaja, manakala parti mewakili orang Melayu menjadi pak turut.
“Kalau kita dapat menang 30 kerusi Parlimen lagi, iaitu semuanya di kawasan majoriti Melayu, tuduhan itu tidak lagi kedengaran.
“Saya yakin PH dapat memenanginya berdasarkan senario orang Melayu sekarang yang memberi sokongan kuat kepada parti Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama di Tumpat, Kelantan, hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, justeru itu parti komponen PH yang berteraskan orang Melayu akan bekerja kuat di kawasan pantai timur dan utara tanah air bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Pada PRU 14 yang lalu, PH tidak banyak menang di Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa kawasan di Kedah.
“Jadi, kita perlu tambah kerusi masing-masing pada PRU15 ini, manakala DAP sudah menang hampir semua kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada mereka,” katanya.