Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat sebagai penyokong setia Mahathir, hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi
Pergeseran antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali kini turut melibatkan laporan polis dibuat terhadap Anwar.
Laporan polis itu dibuat ketika Azmin yang dikaitkan dengan klip video seks mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan skandal itu sebagai konspirasi terhadap menteri hal ehwal ekonomi berkenaan.
Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat sebagai penyokong setia Mahathir, hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi menggesa polis untuk menyiasat klip video seks yang pernah dikaitkan dengan Anwar.
“Atas dasar untuk mengelak fitnah dari terus melanda bakal perdana menteri kelapan (merujuk Anwar) sebab itulah saya membuat laporan polis memohon siasatan forensik ke atas semua video-video yang pernah mengaitkan Anwar bagi mengetahui sama ada video-video ini tulen ataupun palsu,” kata Khairuddin dalam kenyataan media memaklumkan laporan polis itu.
Khairuddin, dalam satu kenyataan, berkata beliau mahu “mempertahankan” Anwar dari fitnah sama seperti Azmin sedang dipertahankannya.
“Di sekeliling kita mempunyai pelbagai jenis kawan. Ada kawan-kawan yang ikhlas dan ada sahabat yang bersifat munafik.
“Seandainya kita terjumpa dengan ular dan kawan munafik; kita harus palu kawan munafik terlebih dahulu kerana dia lebih bahaya dari ular pada hakikatnya,” katanya.
Khairuddin tidak menyebutkan nama tertentu merujuk ‘kawan munafik’ yang dimaksudkannya.
Bagaimanapun, perkataan ‘munafik’ semalam digunakan Azmin ketika diminta pemberita mengulas gesaan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin agar pemimpin politik yang dikaitkan salah laku bercuti sementara siasatan dijalankan.
Bulan lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku bahawa dia adalah salah seorang daripada dua lelaki yang melakukan hubungan seks dalam video yang tular. Dia juga mendakwa pasangannya adalah Azmin.
Azmin menyifatkan klip video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. Beliau juga menyifatkan ia adalah pekerjaan dari dalam.
Polis sudah menahan beberapa individu, termasuk Haziq dan pembantu kepada Anwar, sebagai sebahagian daripada siasatan penyebaran klip video lucah itu.
Anwar sebelum ini berkata siasatan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada dalang penyebaran video tetapi juga kesahihannya.
Anwar turut berkata, sekiranya video itu terbukti sahih, Azmin harus meletakkan jawatan, yang mengundang respons Azmin meminta presiden PKR itu “melihat cermin”.