KUALA LUMPUR, 22 Sept — Warga asing yang memegang permit masuk atau bertaraf penduduk tetap (PR) tidak layak untuk mendaftar sebagai pengundi di negara ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.
Beliau berkata mereka juga tidak secara automatik manjadi warganegara selagi tidak memenuhi peraturan ditetapkan.
“Kerajaan tidak sewenang-wenangnya meluluskan permohonan Permit Masuk atau Taraf Penduduk Tetap (PR) kepada warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menafikan laporan laman web Malaysian Chronicle pada 17 Sept lalu yang mendakwa Jabatan Imigresen menawarkan pekerja warga Bangladesh di negara ini untuk diberi status penduduk tetap bagi tujuan berdaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
“Di bawah Akta Imigresen 1963, hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berumur enam tahun dan telah menetap lima tahun di sini secara berterusan bermula tarikh kelulusan pas lawatan (sosial) layak memohon taraf penduduk tetap atau diistilahkan Permit Masuk mengikut Akta Imigresen,” katanya.
Alias berkata selain itu, PR turut dibuka kepada dua kategori di mana kategori pertama merangkumi kumpulan pelabur di mana pemohon perlu mempunyai pelaburan dalam bentuk simpanan tetap bernilai lebih US$2 juta (RM6.2 juta) di bank-bank tempatan yang tidak boleh dikeluarkan untuk tempoh lima tahun.
“Pemohon yang mempunyai nilai pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM15 juta dalam bentuk aset harta di negara ini juga boleh dipertimbangkan di bawah syarat yang sama,” katanya.
Beliau berkata sementara kategori kedua pula merangkumi kumpulan pakar dan golongan profesional yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A1 dan A2, di mana di bawah A1 pemohon perlu memiliki kepakaran teknikal yang mencapai taraf piawaian antarabangsa dan diiktiraf badan khas di peringkat dunia.
Bagi bawah A2, pemohon perlu memiliki kemahiran dalam bidang kritikal yang diperakukan atau telah bekerja dengan mana-mana agensi kerajaan atau swasta di negara ini bagi tempoh melebihi tiga tahun dengan menyandang jawatan yang disahkan Agensi Kawal Selia yang berkaitan di negara ini, katanya.
Alias berkata selari dengan permohonan pelabur, pakar dan profesional asing, suami atau isteri pemohon berserta anak mereka yang berumur di bawah 18 tahun juga layak memohon untuk pertimbangan PR dengan syarat telah menetap sekurang-kurangnya lima tahun secara berterusan di negara ini.
Alias juga berkata anak-anak pemegang PR yang lahir di sini juga boleh memohon, manakala untuk wanita warga asing yang berkahwin dengan rakyat negara ini, permohonan status warganegara boleh dikemukakan menerusi perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu tertakluk bahawa mereka telah memiliki PR dan menepati syarat tinggal menetap di negara ini sekurang-kurangnya dua tahun secara terus menerus.
Kerajaan juga boleh membatalkan PR yang diberi sekiranya pemegang didapati melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan Akta Imigresen, katanya.
Beliau berharap penjelasan ini dapat mengatasi kekeliruan beberapa pihak yang beranggapan PR dan status warganegara di Malaysia boleh diperolehi secara mudah melalui proses yang longgar, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.
Selain itu, peraturan Imigresen sedia ada juga tidak membenarkan pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara memohon PR di negara ini, katanya.