KEMASKINI: Serangan bom berani mati di sebuah gereja di kota Solo, Jawa Tengah Ahad mengorbankan nyawa pengembom itu dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang jemaah penganut Kristian yang baru selesai mengerjakan ibadat.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indonesia Insp Jen Anton Bachrul Alam berkata 19 yang cedera dalam kejadian itu kini dirawat di dua hospital di Solo, dan sehingga pukul 4.30 petang, lima daripada mereka telah dibenarkan pulang.
“Berdasarkan maklumat saksi, kejadian berlaku apabila jemaah sedang keluar daripada gereja itu setelah selesai melakukan ibadat, sebahagiannya keluar, tinggal sebahagian lagi di dalam dan pelaku juga ikut keluar.
“Apabila sampai di pintu utama, dia telah meletupkan bom, sehingga mencederakan ramai orang dan masih dirawat di hospital,” katanya pada sidang akhbar di Jakarta.
Serangan oleh pengebom berani mati itu berlaku di Gereja Bethel Injil Sepenuh, Kepunton, Kota Solo pada pukul 10.55 pagi.
Anton berkata pelaku dipercayai menyamar sebagai anggota jemaah dan ikut sama melakukan ibadat.
Polis belum dapat memastikan identiti pelaku dan masih menyiasat jenis bom yang digunakan.
Polis telah menyiarkan gambar wajah mayat pengebom itu dan merayu orang ramai tampil memberikan maklumat mengenai identiti pelaku bagi membantu siasatan kejadian itu.
Kerajaan Indonesia mengutuk keras kejadian serangan bom berani mati itu dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dijadual mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu.
—————
Berita terdahulu:
JAKARTA: Sebutir bom diletupkan pengebom berani mati di sebuah gereja, tengah Pulau Jawa, hari ini, lapor sebuah stesen radio.
Radio El Shinta melaporkan bom itu meletup selepas sembahyang pagi ini di Gereja Kepunton, bandar Solo.
Jurucakap polis tempatan, Djihartono, memberitahu El Shinta bahawa setakat ini hanya seorang pengebom disahkan mati dan 11 cedera.
El Shinta dipetik berkata, mangsa dikejarkan ke dua hospital berdekatan.