Pas bersetuju dengan gesaan Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) agar tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam dihapuskan.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, gesaan itu wajar dipertimbangkan walaupun ia tidak popular.
Malah kata beliau, cadangan itu menjumudkan inklusif dakwah, selain berisiko menambahkan lagi perasaan perkauman.
“Bagaimanapun, penghapusan itu dilihat mampu menangani banyak isu berkaitan jika diusulkan akta khas ke Parlimen.
“Kerana realitinya, tulisan Jawi jelas telah disalah guna, dimanipulasi dan menjadi unsur pemerdayaan terhadap pengguna.
“Kepada masyarakat bukan Islam, tulisan Jawi telah diperlekeh begitu hina dan diadu domba, dimomok serta difitnah kononnya ia adalah gerakan Islamisasi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris dilaporkan berkata, entiti itu menggesa kerajaan untuk membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk yang dihasilkan pengusaha bukan beragama Islam.
Kata beliau, tulisan jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna dengan status halal sesuatu produk.
Menurutnya, gesaan itu antara resolusi yang dicapai MCED melalui perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dalam industri termasuk usahawan.
Menurut Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, jika demikian buruk dan jahatnya tulisan Jawi, amat tidak wajar dijadikan hanya untuk melariskan produk yang tidak ubah seperti didagangkan atau dilacurkan.
Sedangkan, kata beliau, martabatnya bagi umat Melayu dan Islam amat tinggi, tiba-tiba bagi pihak yang mahu mencampak buangnya, menjadikan ia alat tarikan dan keuntungan.
“Ini tentulah tidak adil, malah cadangan seumpama itu juga sesuai diterapkan pada pelaksanaan papan tanda dan sebagainya.
“Ia tidak harus digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengertian apatah lagi jika sekadar mengaburi mata pengguna secara salah dan menipu.
“Ironinya, penggunaan logo Halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga wajar dipinda iaitu tidak menggunakan kaligrafi Jawi bagi perusahaan, premis atau produk bukan dimiliki muslim,” katanya.
Katanya lagi, ini kerana ia memberi hak secara peribadi kepada pengguna untuk membuat pilihan alternatif yang luhur tanpa sebarang keraguan.
Semua ini, kata beliau, terkait dengan keyakinan iman setelah kes pertikaian terhadap Islam serta segala simbolnya membibitkan soal ketidakjujuran.
“Banyak kecurangan dalam perniagaan memperalatkan Jawi mahupun logo halal masih berlaku, sedangkan penguatkuasaan pula tertakluk kepada aduan.
“Lebih penting, ini adalah pendekatan mendidik mereka yang selama ini sombong dan angkuh merosakkan reputasi agama, umat dan segala bersangkutan dengan Islam.
“Semoga ia menjadi pengajaran dan mampu merasionalkan kembali tindakan emosi pihak terbabit,” katanya.