Ringgit meneruskan aliran harga menurunkan berbanding dolar US pada pembukaan pagi ini ekoran pengukuhan dolar susulan berita melaporkan Amerika Syarikat dan China akan menyambung semula rundingan perdagangan pada September.
Pada 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.2180/2210 berbanding dolar US daripada 4.2150/2200 pada Khamis.
Seorang peniaga berkata kerugian itu bagaimanapun dihadkan oleh harga minyak yang lebih tinggi semalaman, yang menyaksikan harga minyak Brent meningkat 0.8 peratus kepada US$61 setong.
Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata mata wang Asia kemungkinan akan mengekori dolar US namun tidak pada tahap yang tinggi.
“Harapan untuk peningkatan perdagangan ke rantau yang berkait rapat dengan China, akan mengehadkan kerugian dalam mata wang tempatan,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi sedikit berbanding mata wang utama lain.
Mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0367/0404 daripada 3.0370/0410 pada Khamis, dan tinggi berbanding yen kepada 3.9628/9667 daripada 3.9671/9729.
Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6622/6659 daripada 4.6685/6745 semalam dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.1379/1433 daripada 5.1381/1446. — BERNAMA