KUALA LUMPUR — Seorang guru lelaki sekolah rendah ditahan polis selepas beliau dipercayai menganjurkan pesta liar di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama pagi tadi.
Pemangku ketua polis daerah Brickfields berkata ujian air kencing susulan serbuan jam 3.30 pagi mendapati guru berusia 34 tahun positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamine, lapor Harian Metro.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 13 individu termasuk lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun,” kata Supt Arifai Tarawe.
Beliau berkata sebanyak 39 pil ekstasi, 10 pil erimin 5, ketamin seberat 3.62 gram dan dua kapsul methylenedioxymethamphetamine (MDMA) turut dirampas.
Semua yang ditahan direman empat hari manakala kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.