Mungkin dia atau penguatkuasa nak kata rakyat Paya Jaras adalah GANAS?!!!
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman dengan tegas menyatakan beliau tidak lari atau takut untuk berhadapan dengan penduduk Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh yang rumah mereka dirobohkan pada Rabu lepas.
Sebaliknya, atas nasihat pihak penguatkuasa dan faktor keselamatan, Mohd. Khairuddin tidak turun padang untuk menjenguk ‘anak-anak’ buahnya atau bertanya khabar.
Sebagai Wakil Rakyat, Mohd. Khairuddin telah lakukan sedaya mampu untuk menyelesaikan masalah penduduk di kawasannya yang mana, penduduk-penduduk di Paya Jaras ‘terbahagi’ dua iaitu mereka yang terkesan akibat banjir yang melanda setiap kali musim tengkujuh tiba dan sekumpulan lagi ialah penduduk yang rumah-rumah mereka dibina atas tanah rezab sungai.
Mengikut bancian penduduk, terdapat 182 buah rumah yang pada asalnya perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran Sungai Kedondong yang dikenal pasti menjadi punca kepada berlakunya banjir.
Bagaimanapun, jelas Mohd. Khairuddin, atas dasar perbincangan di antaranya dengan Menteri Besar Selangor, hanya 92 buah rumah sahaja yang tersenarai untuk dirobohkan dan Rabu lalu, sebanyak 36 buah rumah yang telah dirobohkan.
Manakala hanya sebuah rumah sahaja yang dikatakan mempunyai geran dan terdapat dakwaan kononnya geran yang ditunjukan dan seterusnya ditular di media sosial bukan geran yang sahih sebaliknya telah diubah suai.
“Penduduk mempersoalkan mengapa saya tidak tunjuk muka ketika rumah-rumah mereka dirobohkan? Bukan kerana saya melarikan diri atau takut untuk berhadapan dengan penduduk tetapi saya telah dinasihatkan oleh penguatkuasa, atas faktor keselamatan diri, lebih baik saya jangan turun bertemu dengan penduduk buat sementara waktu.
“Walaupun saya tidak turun, saya tetap menggerakkan agar bantuan dihantar kepada para penduduk yang tinggal di khemah terbuka yang mana saya juga difahamkan, hanya lima keluarga sahaja yang tinggal sementara di khemah tersebut.
“Kalau saya tidak membantu, saya tidak meminta Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun dan sebuah keluarga yang mempunyai anak kurang upaya menerima rumah yang ditawarkan oleh Lembaga Zakat,” katanya ketika tampil memenuhi jemputan sebagai tetamu dalam segmen bual pagi, Mornink Blues yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online pagi tadi.
roboh
Pada Khamis lepas Mornink Blues telah menjemput Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Manaf yang hadir bersama seorang penduduk yang rumahnya dirobohkan, Noor Shahida Basit sebagai tetamu dalam segmen yang dikendalikan oleh pengacara, Hasnurul Mohamed dan KhairulAnuar Yahya.
Menurut Mohd. Khairuddin, beliau juga terpaksa berlaku adil dengan penduduk yang berhadapan dengan masalah banjir yang mana mereka yang tinggal di kawasan Paya Jaras Hulu, Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Dalam terdedah dengan ancaman banjir sejak sekian lama.
“Rumah-rumah penduduk yang dirobohkan minggu lepas, ada yang dibina di atas rezab sungai dan Sungai Kedondong perlu dilebarkan bagi mengatasi masalah banjir.
“Mereka yang terlibat ada ditawarkan Rumah Selangorku. Persoalannya, yang mana perlu diberikan perhatian? Masalah penduduk yang berhadapan dengan banjir atau pun memindahkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Kedondong agar sungai berkenaan boleh dilebarkan bagi mengatasi banjir,” ujarnya.
Mohd. Khairuddin menambah, tiada mana-mana pihak yang berjanji untuk memberi wang bantuan sebanyak RM7,000 kepada setiap keluarga yang rumahnya dirobohkan.
“Tiada perjanjian tentang pemberian wang bantuan RM7,000. Kalau ada, sila kemukakan bukti yang mengatakan wujudnya wang bantuan itu,” katanya.
Mohd. Khairuddin berkata, Rumah Selangorku yang telah siap dibina ada di Rawang, Semenyih dan Hulu Langat. – UTUSAN ONLINE