Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa menggariskan lima aspek utama peranan mahasiswa sebagai rakan kongsi pembangunan negara, termasuk menjadi pencetus transformasi dan bukannya penyebar kontroversi.
Perdana Menteri berkata mahasiswa perlu menjadi penyelesai masalah dan bukannya pencetus musibah, selain menjadi pencinta ilmu pengetahuan dan bukannya penjaja angan-angan.
“(Mahasiswa juga perlu menjadi) pemimpin masa depan dan bukannya kuda tunggangan, (serta menjadi) pembela negara dan bukannya penderhaka bangsa,” katanya dalam ucapannya pada majlis penutupan pertandingan Debat Piala Perdana Menteri (PPM) antara institusi pengajian tinggi 2011 di sini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein yang mewakili beliau pada majlis itu.
Najib berkata kerajaan mahu generasi muda hari ini menjadi penggerak utama program transformasi negara, dan bukan sekadar menjadi penjaja cerita kosong demi meraih simpati dalam meneruskan agenda peribadi golongan tertentu.
“Kita semua maklum suara dan idea generasi muda hari ini terutamanya golongan mahasiswa perlu diangkat sebagai modal terbaik yang bakal memacu program pembangunan negara,” katanya.
Najib berkata untuk itu, golongan mahasiswa perlu memahami segala program dan pelan pembangunan kerajaan dengan lebih mendalam supaya mereka dapat memberi pandangan dan pendapat yang boleh memakmurkan lagi negara.
“Setidak-tidaknya mereka dapat bertindak sebagai suatu instrumen timbal-balik yang berkesan kepada segala dasar dan pelan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata justeru itu, melalui pelancaran Tahun Inovasi Nasional 2011, kerajaan membuka ruang dan peluang kepada golongan muda di negara ini untuk menzahirkan segala kreativiti dan idea segar mereka untuk dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan negara.
Najib berkata kerajaan tidak teragak-agak memperuntukkan modal permulaan RM200 juta untuk menggerakkan MyCreatif Venture Capital yang diperkenalkan bagi menyediakan suatu landasan dan bimbingan yang berkesan dalam memantapkan proses inovasi golongan muda.
“Usaha ini begitu relevan, dan selari dengan usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pengajian bertaraf dunia,” katanya.
Najib berkata hasrat itu bagaimanapun tidak akan kesampaian jika golongan mahasiswa tidak berupaya mempamerkan kematangan berfikir serta kemahiran menganalisis dengan baik.
Mengenai pertandingan debat itu, beliau berkata ia merupakan bukti jelas kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan transformasi.
Beliau percaya debat PPM bukan sahaja merupakan medan yang dapat mengasah bakat kepimpinan dan kemahiran berfikir generasi muda terutamanya mahasiswa, tetapi menjadi platform kepada kesediaan kerajaan untuk melibatkan generasi muda dalam proses pembangunan negara.
Pada majlis itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul juara Debat PPM kategori Bahasa Malaysia dengan membawa pulang hadiah RM25,000 dan piala pusingan.
Universiti itu turut mencatat kemenangan berganda apabila pendebatnya Mohd Ikhwan Mohd Rosseli terpilih sebagai pendebat terbaik.