Indonesia menyalahkan koordinasi pihak berkuasa Malaysia yang tidak berkesan dalam pengamanan perairan Sabah dan sekitar daripada ancaman militan selepas 5 nelayannya diculik di perairan Lahad Datu minggu lepas.
“Betul-betul kami menyesalkan ini terjadi berulang-ulang dan kelihatannya keadaan ini kerana koordinasi atau keterlibatan pihak berkuasa di Malaysia tidak efektif selama ini,” kata Timbalan Menteri Luar Mahendra Siregar menurut laporan CNN Indonesia.
Beliau mengingatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina memeterai perjanjian tiga hala dalam hal pengamanan perairan Sabah, Sulu dan Sulawesi, dan mahu Kuala Lumpur meningkatkan koordinasi dan keterlibatan pihak berkuasanya.
“Kami berharap hal ini dapat ditingkatkan dalam waktu dekat,” kata Mahendra.
Lima nelayan Indonesia diculik di perairan Tambisan di Lahad Datu pada Khamis lepas.
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berkata militan Abu Sayyaf menaiki kapal nelayan terbabit dan membawa lari mangsa.
Tiga nelayan yang terjun ke laut ditemui selamat.