KUALA LUMPUR — Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Rabu menyifatkan langkah mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.90 seliter sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di negara ini.
Presidennya Datuk N Marimuthu yang menyambut baik langkah itu berkata keputusan mengekalkan harga bahan bakar itu sekaligus dapat memadamkan reaksi orang ramai berhubung kenaikan harga barang lain, sekiranya harga minyak meningkat.
“Kerajaan masih prihatin terhadap keperluan rakyat meskipun berlaku kenaikan terhadap harga bahan bakar itu di pasaran global ketika ini.
“Ini juga menunjukkan tindakan kerajaan yang selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga petrol RON95 walaupun harga bahan itu di pasaran dunia semakin meningkat.
Katanya, selain mengekalkan harga bahan bakar itu pada RM1.90 seliter, kerajaan dalam masa sama turut menambah subsidi sebanyak 10 sen bagi bulan ini untuk mengekalkan harga bahan itu.
Meskipun kurang bersetuju dengan tindakan menambah subsidi sebanyak 10 sen bagi tujuan mengekalkan harga bahan bakar itu, Marimuthu bagaimanapun berkata keputusan itu terpaksa diterima memandangkan situasi ekonomi ketika ini.
Beliau berkata, pemberian subsidi wajar diberi keutamaan terhadap pembangunan infrastruktur kekal seperti jalan raya, pengangkutan awam, pembinaan hospital dan sekolah, selain berharap rakyat tidak lagi bergantung kepada subsidi kerajaan dalam tempoh 10 tahun daripada sekarang.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia Datuk Zainal Rampak berkata, keputusan mengekalkan harga minyak itu menunjukkan pentingnya sesebuah negara ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan prihatin.
“Sikap peka terhadap keperluan dan keadaan semasa yang dihadapi rakyat juga telah mendorong kerajaan membantu meringankan beban pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) di negara ini dengan mengekalkan harga minyak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa bersyukur dan menjadikan isu bantahan penduduk terhadap kenaikan harga minyak di negara lain sebagai teladan terhadap keprihatin kerajaan negara ini.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Datuk Hashim Othman berkata beliau berpuas hati dan gembira dengan keputusan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 kerana ia bertepatan dengan kehendak pengguna, malah selaras dengan keadaan ekonomi negara.
“Kami pihak pengusaha minyak mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana memahami situasi yang kami hadapi jika berlaku sebarang kenaikan harga minyak.
“Kita sedia maklum jika harga minyak naik, ia turut mempengaruhi kos operasi stesen minyak yang akan meningkat, justeru, tindakan mengekalkan harga minyak sememangnya banyak membantu pengguna agar tidak menjejaskan keperluan harian mereka yang lain,” katanya.
Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri berkata pihaknya menghargai keputusan yang dibuat kerajaan bagi membantu mengurangkan beban rakyat.
“Kami melihat keputusan ini sebagai satu penghargaan terhadap kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap isu sara hidup rakyat dengan mengekalkan harga minyak bagi mengurangkan beban pengguna.
“Kerajaan bertindak melalui pertimbangan sewajarnya dengan menanggung subsidi minyak sebanyak 10 sen di mana secara langsung, cara ini juga menunjukkan mereka memikirkan tentang kepentingan rakyat,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Aslah Abdullah, keputusan kerajaan itu dilihat amat membantu khususnya bagi pengusaha teksi yang masih menggunakan petrol sebagai bahan bakar.
“Meskipun kebanyakan teksi terutama di kawasan Lembah Klang telah menggunakan gas cecair asli (NGV) dan pemandu kurang terjejas sekiranya berlaku kenaikan harga minyak, namun masih terdapat beberapa negeri yang teksinya menggunakan petrol jenis RON95 dan tindakan mengekalkan harga minyak itu dapat membantu mereka terutama golongan berpendapatan rendah.
“Kita harus fikir, bahawa pemandu teksi tidak boleh menaikkan harga tambang sesuka hati meskipun harga minyak pasaran meningkat dan ini boleh mendatangkan masalah kepada mereka untuk menampung perbelanjaan harian mereka sekiranya perkara ini berlaku,” katanya.
Aslah dalam masa yang sama turut berharap agar harga gas (NGV) dapat dikekalkan pada harga 68 sen seliter kerana sekiranya mengalami sebarang kenaikan, pengguna pengangkutan awam juga akan menerima tempias kenaikan harga gas berkenaan.