Beberapa ahli Majlis Tertinggi UMNO dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) kini berada di ibu pejabat UMNO, PWTC yang difahamkan sedang berbincang untuk membuat pengumuman keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam ini, ia selepas berakhir tempoh 14 hari diberikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini.
Dua ahli MT UMNO dilihat sudah memasuki bangunan UMNO tersebut, antaranya Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak juga dilihat baharu tiba dengan sebuah kereta berwarna putih yang membawanya masuk ke ruangan parkir dalam bangunan.
Terdapat juga pengiring bermotosikal Polis Tentera yang berada di parkir PWTC, ia dipercayai mengiringi kenderaan yang dinaiki oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut berada di PWTC, Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarraajh.
Kami sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung pertemuan hari ini, namun dalam kenyataan Biro Politik sebelum ini Zahid sudah memberikan amaran tegas kerajaan PN akan berdepan tindak balas sekiranya tidak membuka sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.