TEBRAU – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyelar kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Wan Saiful Wan Jan yang mengatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah dilakukan secara bersyarat.
Katanya, ini kerana langkah tersebut tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat melainkan ianya bersifat ugutan yang dilihat hanya mempertahankan parti mereka sahaja.
“Rakyat tak tahu apa syarat yang mereka sebut ini, saya juga tidak tahu… jadi saya ingin bertanya kepada Wan Saiful apa dia sokongan bersyarat itu?
“Tolong nyatakan apakah ia ancaman atau ugutan kepada Perdana Menteri dan juga kerajaan yang ada sekarang ini.
“Mereka ini mungkin ada kepentingan untuk menjadi menteri-menteri dalam kerajaan Keluarga Malaysia, bukan begitu? Mereka ada kepentingan untuk meneruskan jawatan-jawatan mereka, begitu juga Pas dan PPBM mungkin itu antara syarat-syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Barisan Nasional (BN) Tebrau di sini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian, Datuk Maulizan Bujang dan kepimpinannya.
Mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang mendapat pertikaian, Ahli Parlimen Pontian itu berkata tidak timbul isu tersebut kerana ianya sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
“Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ditegur kenapa tidak berbincang untuk mengadakan PRN ini, tapi saya kira beliau mempunyai kaedah tertentu untuk memikirkan yang baik untuk negeri dan tentunya perkenan Sultan Johor itu telah pun diperoleh.
“Oleh kerana perkenan telah diperoleh, saya ingin nasihatkan PPBM, Pas dan lain-lain jangan hendak mempertikaikan PRN ini
“Tentunya telah difikirkan semasak-masaknya untuk mendapatkan kestabilan pemerintahan di negeri Johor ini adalah nombor satu iaitu bagi memastikan kemakmuran rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Wan Saiful menerusi laporan media mengingatkan Perdana Menteri bahawa sokongan PPBM adalah bersyarat dan perkara itu akan dibawa semasa berkempen di PRN Johor.
Katanya, syarat dikenakan itu tidak ada kompromi khususnya membabitkan PPBM.
BACA juga: