Seorang kakitangan bahagian teknikal, unit berita TV, Radio Television Malaysia, RTM, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat, arah Kajang, berhampiran Taman Connaught kira-kira jam 12.30 malam tadi.
Mangsa, Zainah Md Sharif, 46 tahun, dari Taman Bukit Segar, Cheras, maut di tempat kejadian setelah cedera serius di kepala.
Siasatan awal polis mendapati, mangsa dikatakan baru selesai bertugas dan memandu kenderaan jenis Perodua My-vi miliknya untuk pulang ke rumah.
Bagaimanapun ketika berada di laluan berhampiran Taman Connaught, sebuah kenderaan utiliti jenis Honda CRV dari arah Kajang terbabas lalu memasuki laluan bertentangan, lalu bertembung dengan kereta mangsa.
Rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa terbalik.
Manakala dua buah kenderaan lain yang cuba mengelak, berlanggar sesama sendiri.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Kemalangan turut menyebabkan tumpahan minyak di sekitar laluan berkenaan.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak.