Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek memberi amaran kepada pihak yang sering menyebarkan berita palsu tentang serangan Sulu supaya segera menghentikan kegiatan mereka.
Beliau berkata, mereka bakal berhadapan tindakan undang-undang sekiranya terus mensensasikan berita berkenaan.
“Kita amat kesal kerana akhir-akhir ini wujud orang tertentu yang sengaja menyebarkan berita palsu melalui Internet, surat dan panggilan telefon bertujuan menakutkan penduduk,” katanya ketika berucap pada majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha Masjid Kampung Karakit, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Banggi, Datuk Abdul Mijul Unaini dan Pengarah Bahagian Pertahanan Esscom, Mejar Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.
“Jika dengar cerita kurang baik, rujuklah kepada balai polis berhampiran atau rujuk kepada Esscom untuk mendapatkan kesahihan sama ada berita itu betul atau palsu,” katanya.
Mohammad turut mengajak penduduk pulau, khususnya di Pulau Banggi, supaya menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan maklumat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan tindakan segera diambil untuk mengekang kemasukan penceroboh.
Katanya, insiden serangan pencerobohan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu awal Mac lepas seharusnya diambil iktibar memandangkan keadaan sekarang tidak lagi sama seperti sebelum ini.
“Ancaman dan serangan boleh berlaku bila-bila masa, jika kita leka dan alpa menjaga kedaulatan dan keselamatan negara kita,” katanya.
Beliau berkata, keluasan pantai Sabah sepanjang 1,773km dari Kudat ke Tawau dan bilangan 486 pulau di kawasan perairan negeri ini menjadi faktor pendorong kemasukan pendatang ke Sabah.
Mohammad berharap kesedaran tentang pentingnya pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha dapat membantu membuahkan hasil yang baik kepada diri dan masyarakat ke arah melahirkan negara yang aman dan sejahtera.
“Sesungguhnya pengorbanan sangat dituntut dan kita sama-sama harus bangkit dengan semangat Badar Al-Kubra untuk berjuang mempertahankan kedaulatan negara dan mencari hidayah Allah,” katanya.