Ikan kerapu seberat 200 kilogram yang ditangkap oleh nelayan di Pulau Pinang semalam adalah yang kedua dalam tempoh dua bulan.
Bulan lalu, ikan kerapu seberat 190 kilogram turut dinaikkan oleh nelayan dari pasar yang sama.
Menurut nelayan Khor Swee Boon, ikan yang dikenali sebagai “Long Tan” itu ditangkap di perairan utara Kedah.
Pada awalnya ia disangkakan sisa sampan yang pecah, yang masuk ke dalam pukat.
Namun jangkaan itu meleset apabila menemui ikan kerapu gergasi yang dipercayai paling besar ditangkap nelayan di perairan negara.
Dengan berat 200 kilogram dan panjang 1.8 meter, enam nelayan berhempas pulas menaikkan ikan itu ke dalam bot mereka.
Ia kemudiannya dibawa ke pasar ikan Lebuh Cecil di George Town.
Orang ramai mula mengunjungi pasar berkenaan untuk melihat ikan itu selepas berita mengenai tangkapan itu tersebar luas dalam media sosial.
Ia kemudiannya dijual kepada pengusaha restoran Chew Jetty dengan harga RM11,000.