Rasanya akan reda keributan politik di Selangor ekoran perlantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar dan penamaan 10 Adun sebagai exconya, sekaligus rakyat Selangor berharap pentadbiran kerajaan negeri akan dapat kembali berfungsi dengan lancar demi kesejahteraan mereka.
Sedikit perubahan yang dibuat Azmin mendapat pelbagai reaksi, ada yang memuji lantaran 40 peratus komposisi exco adalah golongan muda manakala ‘hukuman’ terhadap PAS dengan mengurangkan satu kerusi exconya terpaksa ditelan walaupun pahit.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali menyifatkan kehilangan itu di luar jangkaan tetapi menerimanya dengan hati terbuka kerana memahami kesukaran Azmin membuat pilihan, lapor Harakahdaily.
Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya ‘terpaksa’ berpuas hati dan akur dengan keadaan politik sekarang, bagaimanapun apa yang penting adalah pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.
“Dah ada, kita terpaksalah berpuas hati. Bukan terpaksalah, tapi berpuas hatilah dengan yang ada sekarang ni.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, beliau sudah menjangka perubahan komposisi itu sambil menyifatkan koalisi politik dalam PR itu sangat kompleks.
“Bagi PAS walaupun sedikit kecewa, tetapi saya meletakkan harapan yang besar terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad bersama Dr Yunus Hairi yang kini bersama Exco baharu iaitu Zaidy Abdul Talib,” katanya kepada Sinar Harian Online.
PAS Selangor bagaimanapun menolak dakwaan bahawa mereka bersetuju dengan pengurangan kerusi milik parti itu dalam senarai barisan Exco yang baharu.
Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata, parti di peringkat negeri dan kebangsaan tidak pernah bersetuju dengan pengurangan kerusi Exco seperti yang diperuntukkan sebelum ini.
“Pada pendapat kami, pengusiran Dr Halimah Ali dan Sallehin Mukhyi yang mencatat prestasi memberangsangkan (pada pentadbiran terdahulu) adalah tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak pula kedengaran berbunyi samada berpuashati atau merasa setimpal dengan keadaan yang diharungi PAS di Selangor.
Pun begitu, rentetan pelbagai isu antara sesama parti komponen Pakatan Rakyat, (PR) sebelum situasi minggu ini tercapai tidak memungkinkan masalah yang tercetus diketepikan dan berakhir begitu sahaja.
Tuduh menuduh, saling dakwa mendakwa rakan sepakatan jelas berlaku dan dibogelkan untuk pemandangan dan pendengaran seluruh rakyat malah ke seluruh dunia jika ada yang mahu mengetahui perkembangan di Malaysia.
Apa tidaknya, bermula dari projek Langkah Kajang yang dimulakan pada awal tahun sehinggalah apabila Sultan Selangor berkenan melantik Azmin sebagai Menteri Besar jelas memperlihatkan betapa Anwar, bagai diktator, rakus mahu kehendaknya diikut tanpa bantahan, DAP pula rela bersetuju buat masa ini kerana agenda sendiri yang lebih besar, manakala PAS, ibarat pepatah, ‘tak ada rotan, akar pun jadilah.’
“Dalam semangat Pakatan, ini adalah kerusi PKR dan keputusannya, kita perlu hormati kerjasama ini dan PAS menyertai proses membuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan pada 17 Ogos,” kata Anwar mengulas keputusan PKR dan DAP yang tetap mencalonkan satu nama sebagai calon menteri besar Selangor walaupun Sultan Selangor menitahkan setiap parti mencalonkan lebih dua nama.
Menurut Anwar, PKR berhak untuk dihormati sebagaimana PKR tidak pernah mempertikaikan isu calon MB PAS di Kedah, Perak dan Kelantan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula sewaktu menggulung perbahasan pada Muktamar PAS di Johor minggu lalu, tanpa berlapik merungut dan membelasah ahli parti itu malah turut menuding jari kepada PKR dan DAP yang disifatkan terlebih dahulu menggigit rakan sepakatan.
“Mereka curi wakil rakyat kita. Inikah etika kita bertahaluf?
“Kita tidak pandang ringan 2 wakil rakyat kita (tandatangan SD), ada jadi broker, yang jadi barua semua ada,” katanya.
“Jangan jadikan PAS ni hotel, tempat bersinggah. Jangan jadikan PAS ni jambatan pendek melintas sungai kemudian masuk hutan. Kita bertahaluf dengan PKR, DAP melalui titik persamaan.
“Ahli PAS mesti faham ada perbezaan. PKR berdasarkan sekular pragmatik, DAP sekular sosialis. Kita bukan satu parti,” katanya.
Sikap Hadi itu ternyata terus mencetuskan kemarahan DAP yang menyifatkan PAS khianat kepada semangat setiakawan dalam PR yang dibentuk bersama DAP.
Jadinya, berdasarkan senario masa kini, sementara menanti penetapan potfolio exco, keadaan akan tertera bagai air yang tenang, namun jangan sesekali disangka tiada buaya.
Kita semua akan tenang seketika dari polemik politik Selangor namun perhatian kita akan teralih pula kepada gerakan penghapusan Akta Hasutan 1948.
Pun begitu, Hadi Awang tetap tidak akan nyenyak lena.
Ia kerana, dalam senyap Hadi tetap menjadi fokus pertempuran lantaran PKR dan DAP menyalahkan kepimpinan beliau malah golongan Anwarinas dalam PAS juga tidak mahu menunggu lama untuk menikmati faedah lumayan dalam perbendaharaan negeri yang kuncinya dipegang Azmin.
Maka itu, selagimana Hadi atau mana-mana pemimpin PAS selepas beliau tidak sedar bahawa mereka akan tetap dibadai gelora selagi tidak tunduk kepada kerakusan Anwar, maka selagi itulah serangan pelbagai sudut akan datang, baik dari dalaman mahupun luaran parti, baik secara umum apatah lagi gerakan senyap.
Tepuk dada, tanyalah selera.