Islamabad (Pakistan): Sebuah helikopter tentera membawa diplomat asing terhempas di kawasan pergunungan utara Pakistan mengorbankan dua juruterbang dan empat penumpang termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan.
“Dua juruterbang dan beberapa penumpang maut,” kata jurucakap tentera Pakistan Asim Bajwa menerusi laman Twitter sebelum menambah 13 penumpang lain terselamat namun mengalami kecederaan.
Menurut laporan media Pakistan, helikopter MI-17 itu dalam perjalanan membawa diplomat ke pelancaran projek di kawasan utara apabila terhempas di sebuah sekolah di Gilgit dan terbakar.
Antara yang disahkan terbunuh setakat ini adalah Duta Norway, Leif H. Larsen dan Duta Filipina, Domingo D. Lucenario Jr menurut tentera Pakistan.
Berdasarkan senarai penumpang yang diperolehi agensi berita AFP, diplomat yang dijadual menaiki helikopter berkenaan adalah Duta Indonesia, Lebanon, Malaysia, Belanda, Romania, Norway, Afrika Selatan, Filipina dan Poland.
Keadaan penumpang lain belum diketahui.