Bukan Datuk Seri Najib Tun Razak yang memainkan sentiman perkauman tetapi pengkritiknya yang berbuat demikian dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mengulas laporan khas Channel News Asia yang membincangkan kedudukan Najib dan membandingkan perhimpunan pra-Hari Kebangsaan Bersih atau ‘Baju Kuning’ dengan perhimpunan ‘Baju Merah’ pada sambutan Hari Malaysia.
Salleh berkata laporan itu menggambarkan perhimpunan pertama sebagai mempunyai sentimen mulia manakala perhimpunan kedua sebagai ‘mempunyai unsur perkauman’.
Menurutnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sejurus selepas pilihan raya umum 2013, menyatakan bahawa Barisan Nasional tidak memperoleh kemenangan besar kerana masyarakat Cina tidak lagi menyokong kerajaan.
“Dr Mahathir menyalahkan Najib kerana memenuhi kehendak dan tunduk kepada masyarakat Cina dan selepas ‘membuang masa’ dengan kaum Cina, mereka masih tidak menyokong kerajaan,” kata Salleh dalam catatan blog beliau sskeruak.blogspot.com.
Beliau berkata Dr Mahathir menyuarakan pendapatnya supaya Najib memberi tumpuan kepada hanya pengundi Melayu.
“Dr Mahathir kemudian berkata untuk menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional, Najib perlu meletak jawatan. Jika tidak, kerajaan akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang kerana Najib tidak lagi mendapat sokongan daripada kaum Cina.
“Justeru itu, bukan Perdana Menteri yang memainkan sentimen perkauman. Pengkritik beliau yang meniupkan sentimen perkauman sebagai alasan untuk menyingkirkannya,” kata Salleh.
Menurutnya penganalisis Singapura Dr Ooi Kee Beng, seorang daripada pemerhati yang ditampilkan dalam laporan 30 minit itu, berkongsi pendapat itu.
“Dr Ooi bersetuju dengan perkara itu apabila beliau menyatakan UMNO perlu penjelmaan semula untuk mendapatkan sokongan rakyat tetapi Najib, yang tidak lagi mendapat sokongan kaum Cina, perlu meletakkan jawatan dahulu.
“Dalam erti kata lain, Dr Ooi berkata bukan Najib yang memainkan api perkauman tetapi sentimena perkauman itu ditiupkan terhadap Najib, dan Najib menjadi mangsa dalam permainan perkauman ini,” kata Salleh.