Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan, yang diterajui Umno dan Barisan Nasional (BN), sentiasa mengambil pendekatan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing tinggi untuk diwarisi generasi akan datang.
Perdana Menteri berkata, penyertaan Malaysia dalam Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) misalnya, adalah bagi menjadikan negara lebih berdaya saing dengan negara Asean dan negara-negara maju.
“Sebab itu kita tidak boleh takut dan tak harus takut kalau kita dalam AFTA, tak kanlah kita tidak boleh bersaing dalam konteks Asean.
“Kalau kita dalam TPPA, kalau Vietnam berani masuk, tak kan kita tidak berani, tak kan Malaysia takut…kita berani bersaing dengan mana-mana negara pun,” katanya ketika berucap menutup Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas 3.0) di sini, Ahad malam.
Najib menegaskan penyertaan Malaysia dalam mana-mana perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan terma yang memihak kepada negara dan rakyat.
“Saya beritahu Presiden (Amerika Syarikat) Barrack Obama, ya kami mahu TPPA tetapi dengan terma kita sendiri dan akhirnya kita dapat perjanjian yang amat baik…saya akan beri penerangan lebih lanjut mengenai perkara ini pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung beberapa hari lagi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, proses pembangunan Malaysia sehingga kini sememangnya merupakan sebuah kisah kejayaan yang boleh dibanggakan malah dihormati oleh negara-negara kuasa besar.
Justeru, katanya, rakyat terutama golongan mahasiswa perlu terus yakin dengan kepimpinan Malaysia dan memastikan Umno terus mengekalkan kuasa kerana parti pembangkang sebagai alternatif kepada kerajaan, tidak sesuai memimpin negara ini.
Katanya, pembangkang hanya menggunakan persepsi sebagai senjata khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengalih kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
“Mereka serang melalui perang persepsi, kalau bentang fakta, logik dan rasional, dia (pembangkang) kalah, mereka lawan menggunakan auta (pembohongan),” katanya.
Sementara itu, Najib memberi jaminan kerajaan akan terus berbelanja dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Katanya, kerajaan juga tidak pernah menaikkan yuran pendidikan sejak sekian lama bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada pendidikan yang merupakan kunci kejayaan pembangunan negara.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Yayasan Minda, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Ibrahim Abu Shah.
Sebanyak 225 mahasiswa universiti awam dan swasta menyertai Persidangan Pemanas siri ketiga itu anjuran Biro Pendidikan Umno dan Yayasan Minda.
Ia bertujuan mengenal pasti tahap amalan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa dan juga melahirkan pemimpin yang berkarisma dan berfikiran strategik, cekap dalam pengurusan, perancangan dan kaedah membuat keputusan.