WASHINGTON: Syarikat teknologi gergasi Korea Selatan, Samsung terus menerima tamparan hebat apabila terpaksa menarik semula 2.8 juta mesin basuh keluarannya di Amerika Syarikat (AS) ekoran kebimbangan penutup atasnya berkemungkinan tercabut dan mencederakan pengguna.
Perkembangan tersebut berlaku hanya beberapa minggu selepas Samsung menghentikan dan memanggil semula produk telefon pintar, Samsung Galaxy Note 7 yang mengalami masalah bateri dan membahayakan pengguna.
Perkara itu diumumkan oleh Samsung bersama Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS menerusi satu kenyataan pada hujung bulan lalu.
Suruhanjaya tersebut menjelaskan,penutup atas mesin basuh terbabit “boleh tertanggal tanpa dijangka daripada mesin basuh ketika sedang digunakan, sekali gus mengundang risiko kecederaan.”
Samsung sebelum itu telah menerima 733 laporan masalah berkaitan mesin basuh keluarannya dan sembilan daripadanya membabitkan kes kecederaan, patah rahang dan kecederaan bahu.
Menurut kenyataan oleh Samsung, mesin basuh yang terbabit adalah dari keluaran tahun 2011 dan pihaknya akan hanya memulangkan wang kepada mereka yang membeli mesin itu dalam tempoh 30 hari lalu.