Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi mengkaji penambahbaikan sistem pilihan raya dijangka dibentuk selepas 3 Oktober depan, sebaik Parlimen bersidang semula.
Akan dianggotai 9 ahli Parlimen, 5 wakil BN, 3 pembangkang dan seorang bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya SPR pula perlu menyediakan memorandum bagi penubuhan jawatankuasa itu, agar pemilihan anggotanya boleh dilakukan.
Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di JPM: “Harapan kita ialah supaya pada 3 September ini, kerajaan akan dapat bawa usul untuk membentuk select committee khas ini supaya mereka boleh terus menjalankan tanggungjawab.”
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen, siang tadi.
Pindaan kepada akta sedia ada bagi penambahbaikan sistem pilihan raya dijangka dapat dilakukan pada sesi Parlimen, Mac tahun depan.
Tertera antara perkara dijangka diambil kira dalam pindaan berkenaan.
Ia termasuk sama ada seseorang dibenarkan mengundi lebih awal dari tarikh pilihan raya, bagi mereka yang tidak dapat mengundi pada hari pengundian.
Dan sama ada perarakan pada hari pencalonan perlu dimansuhkan.
Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di JPM: “Apakah hari pencalonan itu nak dilakukan seperti sekarang, ataupun kita nak ikut cara di United Kingdom, di mana upacara itu berlaku macam biasa sahaja, takde berarak, dan macam-macam lagi yang boleh timbul ketegangan.”
Pertubuhan bukan kerajaan, NGO menurutnya, boleh turut serta sebagai saksi semasa pendengaran dan bukan sebagai anggota jawatankuasa.
Sementara orang ramai boleh memberikan cadangan apabila jawatankuasa itu mengadakan sesi pendengaran awamnya.