Sekalipun bergelar Yang di-Pertuan Agong, baginda mencemar duli dengan turun dari kenderaan rasmi untuk membantu mangsa kemalangan dekat Putrajaya pagi ini.
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu dalam perjalanan ke Istana Melawati, Putrajaya bagi menghadiri mesyuarat pra-Kabinet.
Tidak menjelaskan bentuk nahas yang dialami mangsa, Istana Negara melalui Instagram memaklumkan mangsa dikenali Jasliza Jamil “tidak mengalami kecederaan serius” sebelum baginda meneruskan perjalanan ke Putrajaya.
“Tuanku kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet bersama YAB Perdana Menteri di Istana Melawati, Putrajaya. Daulat Tuanku,” kenyataan instagram dipetik.
Foto yang dimuat naik memaparkan baginda memberi bantuan kepada mangsa. Kenderaan mangsa dilihat tersadai di pembahagi jalan.
Rata-rata pengunjung media sosial memuji tindakan baginda. Ada kalangan mereka menganggap perbuatan melambangkan sikap “raja berjiwa rakyat”.
LIHAT VIDEO: https://youtu.be/vpH7l3wGkpU