Saya jahil undang-undang dan apa lagi ilmu kehakiman.
Ketika PM Mahathir mengangkat Tommy Thomas jadi Peguam Negara, takwil saya hanya dia bukan orang Islam. Sesudah negara tidak berjalan mengikut perundangan Islam, biarlah Peguam Negaranya yang maklum hati umat Islam.
Atas imejnya seorang pengamal undang-undang yang dihormati, tidak upaya saya pertikai wibawanya. Tentulah PM lebih mafhum, mahu seorang Peguam Negara membanggakan Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya dan negara yang dikatakan memerangi rasuah.
Kebimbangan awal saya setelah itu, komen seorang hakim pada saya, ia mungkin ke arah meminggirkan kes rasuah Lim Guan Eng yang baru jadi Menteri Kewangan. Saya tiada sikap jika kesnya dibuang atau diteruskan hinggalah saya membaca komen bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan tulisan seorang pengamal undang-undang di Sinar Harian.
Tun Hamid tidak dapat terima rasional dan kebijaksanaan Tommy menarik diri jadi pendakwa terhadap dakwaan yang dikenakan kepada Najib dan pendakwaan kepada peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan bekas hakim Sri Ram.
Tun Hamid juga kes Guan Eng tidak diteruskan. Dia memberi hujah undang-undang mengapa kes itu wajar dibicarakan. Saya suka kepada semua alasannya. Sebagai jahil undang-undang jika saya komen boleh mendedahkan saya sebagai loyar buruk. Tetapi pengamal undang-undang yang hendak menegakkan negara undang-undang dan memerangi rasuah, patut mengamati komen bekas ketua hakim itu.
Penulis di Sinar Harian pula membandingkan kes Guan Eng dengan kes Dr. Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor.
Kedua-dua kes didakwa atas dakwaan yang sama. Jabatan Peguam Negara menarik balik dakwaan itu dengan alasan bukti tidak cukup dan jika diteruskan perbicaraan, ia mungkin ditolak oleh mahkamah. Apa guna diteruskan pendakwaan apabila ia dirasakan tidak boleh menang.
Akan tetapi dengan masalah yang sama yang dihadapkan kepada Khir Toyo, pendakwa menang bicara. Dr Khir telah dipenjarakan.
Kes Khir Toyo berlaku lama sebelum kes Guan Eng.
Mengikut penulis itu, biasanya sesuatu kes yang sampai ke mahkamah tinggi segala keterangan dan keputusannya menjadi rujukan kepada penghakiman sebarang kes selepasnya.
Maka dia tidak nampak pentadbiran Peguam Negara sekarang memberi telitian dan perbandingan antara kes Khir Toyo dan kes Guan Eng.
Dari logik dan hukum akal, akal saya atas kedua-dua kes yang didakwa di bawah perkara yang sama, hanya salah satu daripada penghakiman itu betul, Kedua-duanya adalah tidak betul.
Kalau penghakiman atas kes Khir Toyo betul, mengetepikan kes Guan Eng ada tidak betul. Jika keputusan atas kes Guan Eng itu betul, maka penghakiman atas Khir Toyo adalah tidak betul.
Tanggapan saya atas dua ulasan terhadap wibawa Jabatan Peguam Negara di bawah Tommy Thomas tidak mencerminkan kecemerlangan yag diidamkan oleh Perdana Menteri Mahathir jika dia tidak berpolitik kayu tiga atas keadilan yang kita dapati sekarang.
Mahathir, kerajaan baru dan rakyat mahukan pemerintahan yang bersih, bebas rasuah, adil dan saksama.
Rata-rata orang takwil dan perleceh prestasi 100 hari kerajaan itu. Empat bulan pertama Peguam Negara dilihat tidak menolong meyakinkan harapan Perdana Menteri, Kerajaan Harapan dan rakyat mencapai matlamatnya.
Lainlah kalau Tommy begitu kerana melaksanakan apa yang PM mahu dia buat dan bukan buat apa kejaksaan patut buat. Tommy mungkin sudah buat apa yang terbaik, tetapi tidak membantu mencapai harapan Harapan.- Oleh SUBKY LATIFF/Harakahdaily
……………