Sekiranya anda bukanlah seorang ahli parti atau peminat tegar Pakatan Harapan (PH), sudah tentu anda dapat melihat PH kalah teruk di media sosial.
Saya tidak fikir Barisan Nasional (BN) memiliki sumber wang yang banyak untuk mengupah tentera siber, kebanyakan kritikan dan cemuhan datang daripada rakyat biasa.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya melihat banyak ‘hantu’ dipasang oleh kumpulan yang menyokong Barisan Nasional, terutamanya untuk memberi komentar positif pada halaman Facebook Najib Razak.
Kini Najib Razak tidak memerlukan hantu, dia hanya ‘menjenamakan’ dirinya dengan slogan yang ‘catchy’ – kini di media sosial dia kembali popular dan cuba ‘merelevankan’ diri.
Sentimen kaum dan agama digunakan dengan baik oleh pembangkang
Perlu kita fahami kebanyakan mereka yang ada di media sosial tidak semuanya memiliki digital literacy (pengetahuan digital) yang tinggi.
Mereka terdedah dengan berita palsu, kritikan tidak berasas atau apa-apa propaganda yang boleh membangkitkan kemarahan.
Seperti yang dapat kita perhatikan, sejak kemenangan PH pada PRU14, penggunaan sentimen perkauman dan keagamaan adalah jalan terbaik untuk BN dan PAS kekal relevan.
Insiden kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib misalnya, merupakan insiden yang boleh digunakan untuk menggambarkan masyarakat Melayu berada dalam keadaan terancam.
Propagandis pembangkang tahu siapa ‘targeted audiens’ mereka dengan baik, mereka tidak perlu mensasarkan kelompok masyarakat yang banyak membaca atau melakukan perbandingan dengan menyeluruh.
Mereka cuma perlu mensasarkan mereka yang sudah memiliki ‘tanggapan buruk’ terhadap PH atau mereka yang gemar membaca ‘tajuk berita’ tanpa meneliti isi
kandungan.
Kelompok seperti ini sering menjadi ejen menyebar berita palsu secara percuma – kerana mereka lebih gemar melakukan perkongsian tanpa membacanya terlebih dahulu.
Seperti mana pasukan siber BN kurang pengalaman menjadi pembangkang, saya percaya pasukan siber PH juga menghadapi masalah yang sama.
Jika dahulu tentera siber milik PH mahir dalam kaedah menyerang, barangkali mereka belum mempunyai kemahiran yang ampuh dalam bertahan.
Sudah lebih setahun ‘tentera-tentera’ ini memerhati dan belajar, saya tertarik untuk melihat apa yang mereka mampu lakukan menjelang tahun kedua.
Keadaan ini bertambah teruk apabila gagasan ‘rahmatan lil’ alamin’ yang dicanang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sukar difahami oleh kebanyakan rakyat.
Penerangannya terhadap gagasan pemikiran ini masih samar-samar, dan mudah dieksploitasi oleh pihak lawan.
Bukan kerana sentimen agama dan bangsa, tapi prestasi PH
Kemarahan netizen bukan semata-mata kerana penggunaan sentimen agama dan perkauman dalam politik, tapi turut didorong prestasi PH yang turun naik.
Kelompok ‘audiens’ yang saya katakan tadi melihat politik dengan mudah – terutamanya soal janji manifesto.
Pada mata kelompok ini, kejayaan PH bukanlah bergantung pada berapa banyak institusi yang telah distruktur semula, atau penjimatan yang berjaya dilakukan – tapi pada janji-janji utama PH semasa PRU14.
Saya berulang kali mengatakan – sekiranya tidak mampu menunaikan janji PRU14, perlu ada usaha yang diperlihatkan untuk mencapai janji tersebut. Tidak pun, semangat manifesto itu perlu dihormati.
Cukup malang apabila PH memiliki sosok yang secara terang-terangan memijak janji-janji ini melalui ucapan atau tulisannya.
Pengkhianatan ini akan mendorong rakyat untuk marah dan melepaskan cemuhan di media sosial.
Tidak dilupakan, masih ada segelintir pemimpin PH yang masih seperti ‘kanak-kanak’ ketika di media sosial. Bahkan ada yang sudah bergelar menteri.
Kumpulan ini ‘mudah koyak’ dan membalas kritikan netizen dengan gaya bahasa yang digelarkan ‘bahasa WeChat’.
Mereka ini harus disedarkan bahawa mereka bukanlah aktivis yang menjerit-jerit atau tidur di tengah jalan, tapi pemegang amanah besar dalam menjalankan tugas kerajaan.
Oleh itu, mereka setidaknya harus kelihatan berkarisma dan boleh dipercayai.
Bagaimana PH boleh memperbaiki diri di media sosial?
Sekiranya ditanya bagaimana PH boleh memperbaiki posisi mereka di media sosial, sudah tentu saya akan mengatakan – PH perlu memperbaiki prestasi dan pastikan polisi mereka akan memberi rahmat kepada rakyat.
Tidak guna memiliki ucapan-ucapan yang membara jika perut rakyat masih lapar akibat kos sara hidup yang memuncak.
Prestasi yang baik akan memudahkan kerja-kerja propagandis PH untuk melukis imej PH di media sosial.
Pusinglah bagaimana pun, jika prestasi PH tidak dirasai rakyat, propagandis terhebat dunia pun tidak mampu untuk menyelamatkan PH.
* Rahman Imuda merupakan bekas aktivis mahasiswa dan seorang pengamal media.