Sokongan bersyarat Bersatu kepada Perdana Menteri seperti yang diumumkan pemimpin parti itu baru-baru ini menunjukkan Ismail Sabri Yaakob tidak bebas dan sentiasa diugut, kata Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata atas sebab itu Parlimen wajar dibubarkan segera kerana syarat-syarat seperti itu menjadikan politik negara tidak stabil.
“Perdana Menteri akan terganggu dengan ugutan dan kata dua,” katanya dalam kenyataan.
“Itulah sukarnya bila wujud kerajaan majoriti lemah. Timbul banyak gangguan dan tuntutan tidak munasabah, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.”
Puad menjawab kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, semalam bahawa sokongan parti itu kepada Ismail adalah bersyarat, di sebalik pertelingkahan dengan Umno berhubung Pilihan Raya Negeri Johor.
Wan Saiful mengingatkan bahawa, “Ismail menjadi Perdana Menteri hari ini bukan dicalonkan Umno”.
Puad menyanggah tujuan syarat-syarat yang disebut Wan Saiful bukan untuk rakyat, tetapi kelangsungan politik Bersatu dan presiden mereka, Muhyiddin Yassin.
“Wan Saiful dakwa Muhyiddin adalah Perdana Menteri terbaik. Justeru saya ulangi cabaran supaya Muhyiddin jadi ‘poster boy’ Perikatan Nasional di PRN Johor sama macam Melaka,” katanya.
BACA juga:
- #PRNJohor: Sokongan terhadap PM bersyarat, PPBM ingatkan Ismail
- #PRNJohor: Tanding solo kerana trend sokongan kembali kepada BN, kata Zahid
- #PRNJohor: Keadaan politik negeri hanya tenang di permukaan – Mohamad Hasan
- #PRNJohor: Tok Mat dilantik Pengarah Pilihan Raya BN
- #PRNJohor: ‘Tungganglah Vellfire, jangan tunggang agama’