MCA menyokong pembentukan naratif politik baharu melalui Muafakat Nasional.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, percaya usaha mengangkat Muafakat Nasional sebagai satu gabungan kelak, tidak akan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan ketika ini.
“Jangan jadi naif, anda bukan kerajaan. Anda fikir kerajaan ini akan benarkan anda membentuk satu lagi gabungan? Saya tidak rasa begitu. Jadi, anda perlu realistik,” katanya.
Ka Siong bagaimanapun mengaku tidak nampak apa-apa masalah untuk menyokong semangat dibentuk itu ketika ini, kerana ia memenuhi nilai sejagat serta tidak melanggar mana-mana nilai norma kehidupan.
“Bila kita bercakap mengenai Muafakat Nasional, ia bukan gabungan, jangan salah faham. Ia disebut dengan betul oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO). Ia hanya semangat kebersamaan di bawah nama Muafakat Nasional.
“Ia hanya satu semangat, seperti 1Malaysia iaitu semangat kebersamaan dan Muafakat Johor iaitu semangat kebersamaan untuk rakyat Johor. Jadi kenapa ia tidak boleh dikembangkan ke peringkat nasional? Itu saja,” katanya ketika ditemui sempena PAU 2019, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Muafakat Nasional yang turut disebut Ahmad Zahid melalui ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata beliau tidak ada masalah menerima Muafakat Nasional walaupun berlandaskan Islam, kerana pihaknya juga menyokong Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.
“Kalau kerajaan nak bawa balik RUU 355 (dibentangkan di Parlimen), kita cabar kerajaan. MCA boleh ada pendirian mereka sendiri, tapi bagi MIC, jika kerajaan nak bawa sekarang, kita akan sokong,” katanya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pula menyambut baik pengumuman Ahmad Zahid mengenai penubuhan pejabat Setiausaha Agung PAS di PWTC, untuk memudahkan usaha menyelaraskan Muafakat Nasional.
“Setiausaha Agung (PAS) akan ada sekretariat tetap di PWTC. Ini (langkah) permulaan ke arah secara rasmi Muafakat Nasional,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid melalui ucapannya berkata, Muafakat Nasional adalah naratif politik baharu demi kelangsungan supaya parti terus relevan di persada politik tanah air dan antarabangsa.
Beliau berkata, kerjasama politik itu adalah impian besar UMNO dan PAS untuk melihat penyatuan orang Melayu tercapai, tanpa mengetepikan bangsa lain.
“Terima kasih kepada rakyat terutamanya orang Melayu, andalah pencetus Muafakat Nasional. Dari rakyat penyatuan ini bermula, dan rakyat yang akan mempertahankannya. Tanpa rakyat tidak mungkin Muafakat Nasional mampu direalisasikan,” katanya.
Beliau menegaskan melalui Muafakat Nasional, pihaknya tidak mengimpikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas.
“Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan. Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.