Kementerian Pelancongan bimbang dengan industri pelancongan di Kedah yang semakin suram ekoran jumlah kedatangan pelancong asing dan tempatan ke negeri ini kian merosot sejak 2008.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ng Yen Yen berkata statistik menunjukkan bahawa jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini merosot kepada 3.8 juta pelancong pada 2008 dan 2009 berbanding 4.5 juta pelancong tahun sebelumnya.
Katanya jumlah itu terus merosot pada tahun lepas iaitu hanya 2.7 juta manakala jumlah pelancong asing turut merosot daripada 1.8 juta pada 2007 kepada 1.6 juta orang pada 2008, naik sedikit kepada 1.9 juta pada 2009 tetapi merosot teruk kepada 1.1 juta pada 2010.
“Malaysia menerima 23 juta pelancong asing pada 2009 dan meningkat kepada 24.6 juta orang tahun lalu, namun mereka tidak datang ke Kedah dan memilih untuk melancong ke negeri lain seperti Sabah.
“Kerajaan negeri jangan anggap Kedah hanya ada Pulau Langkawi sebagai tempat pelancongan menarik. Malah mereka boleh promosikan produk pelancongan lain seperti muzium padi dan pusat kampung budaya yang perlu dijaga dan diselenggara dengan baik,” katanya pada sidang media selepas melawat Balai Seni di sini hari ini.
Ng berkata beliau kesal dengan kegagalan kerajaan negeri mengurus kampung budaya itu dan kementeriannya pula tidak berhak untuk campur tangan dalam hal itu kerana ia hak kerajaan negeri.
“Kerajaan pusat bina pusat kampung tradisi di Gunung Keriang bernilai RM6.4 juta dan menyerahkan kepada kerajaan negeri pada Mac 2009 dan kerajaan negeri telah melantik kontraktor bertanggungjawab pada Oktober tahun sama tetapi tidak ada perubahan.
“Exco Pelancongan negeri perlu mengambil perhatian serius mengenai perkara ini agar jumlah kedatangan pelancong ke Kedah tidak merosot teruk,” katanya.
Ng berharap kerajaan negeri akan mengkaji dengan segera industri pelancongan di Kedah kerana industri pelancongan merupakan satu kegiatan ekonomi yang memberi pulangan kepada pemandu teksi, restoran, pusat beli belah dan industri perhotelan.
Katanya melalui Belanjawan 2012 yang dibentangkan baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan RM420 juta untuk membangunkan prasarana di Langkawi disebabkan ia produk pelancongan yang penting di negara ini.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan jumlah pelancong domestik ke Langkawi yang semakin menurun sejak 2008 iaitu 2.1 juta orang berbanding 2.6 juta pelancong pada 2007, dan jumlah itu terus menunjukkan penurunan 1.9 juta orang pada 2009 dan 1.5 juta pada 2010.
Ng berkata kementeriannya sedang berbincang dengan syarikat penerbangan Rusia untuk mengadakan penerbangan terus dari negara itu ke Langkawi dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong negara itu melawat Langkawi.
Katanya statistik tahun lalu menunjukkan sebanyak 600,000 pelancong Rusia berkunjung ke Thailand tetapi hanya 37,000 orang sahaja yang berkunjung ke negara ini.
“Saya jangka hujung tahun ini satu penerbangan dari Timur Rusia yang membawa pelancong mereka ke Langkawi dan pihak kementerian sedia membantu sekiranya mereka memerlukan apa-apa bantuan,” katanya.