Pendakwah bebas Ebit Lew mengakui rasa tenang dan bahagia selepas berjaya membantu sebuah keluarga daif yang tinggal di daerah Baling, Kedah.
Katanya, perkara paling membahagiakan adalah melihat senyuman anak kecil yang menerima bantuan sekaligus ‘memadam’ kepenatan dirasai.
“Hidup untuk Allah sayang. Senyuman adik tadi buat hati ini hidup kembali walau penat,” jelasnya di Instagram.
Menerusi hantaran itu, Ebit kelihatan sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di sebuah hentian rehat dan rawat (R&R).
Semalam, Ebit dilaporkan bergegas ke utara tanah air bagi membantu sebuah keluarga daif.
Ebit mengakui hidupnya tidak begitu tenang memikirkan nasib keluarga berkenaan terpaksa menumpang teduh di sebuah pondok dalam kebun getah yang serba kekurangan.
“Bagi saya sehari mereka di sini adalah dosa buat saya yang tidur lena. Makan sedap. Rumah saya besar dan kenderaan macam-macam,” katanya dalam hantaran sebelum ini di Instagram.
Sebelum ini, Ebit diberikan kebenaran semula oleh pihak polis untuk melakukan kerja-kerja amal selagi tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), laporan MalayMail.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan, pendakwah itu mendapat kebenaran rasmi bagi menjalankan kerja amal dan tiada keperluan melakukan siasatan.
Kontroversi tercetus selepas ada pihak kurang senang dengan tindakan Ebit memberi sumbangan kepada masyarakat baru-baru ini.