- Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata SKMM memandang serius usaha membanteras sindiket judi online
- Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan berkenaan
Lebih 200 serbuan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras sindiket judi dalam talian yang didapati meningkat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata SKMM memandang serius usaha membanteras sindiket itu, malah sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan sebarang aktiviti berkaitan dan melakukan tangkapan terhadap mereka yang terlibat.
“Mereka yang ditahan ini akan berdepan tindakan undang-undang mengikut tujuh akta yang mengawal aktiviti perjudian ini, antaranya Akta Rumah Judi Terbuka 1993, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pertaruhan 1953,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Malaysia Hari Ini terbitan TV3, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan judi haram dalam talian, menerusi aduanskmm@mcmc.gov.my atau melalui talian aduan 1800188030, 03-86881880 (faks) dan 016-2206262 (WhatsApp).
PKP dikuat kuasa sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini dan kini memasuki fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei. — BERNAMA