Seorang maut, manakala dua lagi masing-masing cedera parah dan cedera ringan selepas van syarikat keselamatan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 389.5, arah Utara, Lebuhraya Utara Selatan (NSE) berhampiran Behrang, Perak, jam 12.30 tengah hari tadi.
Van keselamatan yang turut membawa 12 beg wang tunai itu dilaporkan dilanggar dan diseret sebuah lori tangki membawa muatan minyak diesel sehingga merempuh pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, berkata kejadian kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk membabitkan laluan dari arah utara dan selatan.
“Akibat kemalangan itu berlaku kesesakan sehingga menyebabkan polis mengarahkan pengguna lebuh raya dari arah utara dilencongkan memasuki susur masuk Plaza Tol Behrang dan Slim River.
“Bagi pengguna lebuh raya dari arah selatan, mereka dilencongkan melalui Plaza Tol Tanjung Malim,” katanya ketika dihubungi BH.
Setakat ini identiti tiga mangsa yang terbunuh dan cedera itu belum dikenal pasti dan polis selesai melengkapkan siasatan di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kemalangan itu juga polis menemui empat beg hitam besar dan lapan beg hitam kecil mengandungi wang tunai yang dibawa van syarikat keselamatan itu. Difahamkan, wang berkenaan dibawa ke bilik kebal Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim.
Mayat mangsa yang terbunuh serta mereka yang cedera sudah dihantar ke Hospital Mualim.
Keadaan lalulintas kembali pulih pada jam 4.00 petang, dan pada masa ini laluan keluar dari Plaza Tol Tanjung Malim masuk ke NSE menghala ke utara ditutup. Laluan lebuh raya dari arah selatan ke utara dibuka untuk lalu lintas.
Sementara itu, di lokasi kejadian kemalangan lorong kanan laluan ke arah utara masih ditutup bagi kerja pembersihan minyak diesel yang tertumpah.
Bagi laluan arah ke selatan, pengguna lebuh raya masih diarahkan untuk memasuki laluan keluar ke Plaza Tol Behrang. Semua kenderaan dari arah selatan yang terbabit dalam kesesakan akibat kemalangan sudah disuraikan.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad memaklumkan, kemalangan itu menyebabkan aliran trafik di kedua-dua arah sesak sejauh dua kilometer sejak jam 12.30 tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pula berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 12.33 tengah hari sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Putih, Ipoh tiba memberi bantuan bagi membantu membersihkan tumpahan minyak disel di lebuh raya itu,” katanya.