TROLAK: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, diumumkan sebagai calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Pengumuman dibuat Pengerusi BN Perak yang juga Pengarah PRK DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad, di Dewan Rajawali Felda Residence, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Mohd Zaidi, 43, anak kelahiran Kampung Slim Village di Slim River adalah Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) dan sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung serta Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Ketua UMNO cawangan Kampung Slim Village itu juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian serta ahli jawatankuasa Biro Kebajikan UMNO Malaysia.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu.
PRK itu dijadual diadakan 29 Ogos ini dengan 15 Ogos adalah hari penamaan calon dan hari pengundian awal pula 25 Ogos.
Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.
Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan parti baharu, Jumaat lalu dijangka mengumumkan calon mewakili parti itu malam ini di Slim River.