SEBANYAK tujuh premis perjudian disita dalam operasi yang dijalankan di Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, dalam operasi yang sama, gerai dan beberapa binaan atau struktur tanpa kebenaran turut dirobohkan.
Menurutnya, fokus MBSA dalam operasi itu bukan merobohkan gerai yang dibina tanpa kebenaran, sebaliknya merobohkan struktur tambahan binaan yang dibina tanpa kebenaran MBSA.
“Semasa operasi ini dijalankan, satu unit gerai, tiga unit kabin, lima unit ‘awning’ depan dan 16 unit ‘awning’ lorong belakang dirobohkan.
“MBSA juga mendapati sebanyak 16 gerai di kawasan itu dibuka oleh pemiliknya sendiri selepas mendapat notis arahan daripada MBSA.
“MBSA juga meroboh struktur binaan atau tambahan pindaan di dalam premis yang disyaki premis perjudian haram serta menyita barangan yang berada dalam premis di mana ia membabitkan tujuh premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi bersepadu itu dengan kerjasama agensi kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Shahrin berkata, operasi yang dijalankan itu menggunakan peruntukan mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menghilangkan atau menghapuskan halangan di tempat awam.
Sementara itu, menurutnya, MBSA sentiasa memberi peluang khususnya kepada peniaga kecil untuk menyara kehidupan melalui penyediaan ruang perniagaan seperti kiosk, gerai, pasar malam dan sebagainya.
“Mengikut rekod sejumlah 1,173 jumlah penyewa gerai, pasar, kiosk dan medan selera manakala sebanyak 318 permit penjaja sementara dikeluarkan oleh MBSA untuk menampung permintaan peniaga kecil termasuk pengusaha Food Truck di kawasan MBSA.
“Demi menjaga kepentingan dan kelangsungan peniaga kecil, MBSA juga mengecualikan kutipan fi lesen untuk tempoh 2 bulan (April hingga Mei 2020) dengan syarat tiada tunggakan sewa sehingga Februari 2020.
“Dasar itu memberikan implikasi kepada kewangan MBSA sebanyak RM1,081,438 dan ini menunjukkan MBSA tidak pernah meminggirkan peniaga kecil sebaliknya sentiasa membantu untuk meningkatkan sara hidup mereka,” katanya.