KUCHING — Golongan muda terpelajar yang seringkali dianggap sebagai kumpulan pendesak dan selalu mempersoalkan dasar-dasar kerajaan kini semakin ramai memperakui kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata maklum balas terbaharu yang diperoleh beliau menunjukkan golongan muda ini menganggap dasar-dasar yang dibuat Najib sejak memegang tampuk kepimpinan negara adalah jelas dan praktikal untuk dilaksanakan.
“Golongan muda kita sekarang sudah menerima hakikat bahawa kepimpinan Datuk Seri Najib memberikan hala tuju baru kepada Malaysia,” katanya.
Berucap semasa menutup majlis Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kawasan Dewan Undangan Negeri Satok dalam Parlimen Petra Jaya di sini hari ini, beliau berkata Najib telah memberikan harapan baru kepada mereka untuk memperoleh kehidupan yang terjamin di masa hadapan.
Katanya penerimaan golongan muda ini sangat penting bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) memandangkan merekalah yang akan menentukan jatuh bangunnya negara di masa akan datang.
Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Sarawak berkata agenda Malaysia sekarang adalah untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dan hasrat ini akan tergugat sekiranya tiada persefahaman di antara kepimpinan sekarang dan generasi muda.
“Kalau kita hendak melihat masa hadapan, lihatlah anak muda kita. Kalau mereka dibiarkan (berdemonstrasi) di jalanan maka ini akan hanya menyebabkan anarki (berlaku) di masa hadapan dan kita tidak akan dapat bersaing dengan negara-negara lain untuk menjadi negara maju,” katanya.
Mengenai pilihan raya umum ke-13 akan datang, Abang Johari meminta anggota PBB dalam kawasan Parlimen Petra Jaya agar tidak leka dengan kemenangan besar yang telah dicapai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri di dalam kawasan Parlimen itu dalam pilihan raya negeri lepas.
“Kita janganlah sombong tetapi perlu berusaha lebih kuat lagi untuk mencapai kemenangan di Petra Jaya nanti supaya program untuk membangunkan rakyat kita dapat diteruskan,” katanya.