Majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung di The Megallan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah pagi ini bertukar menjadi Majlis Ramah Mesra Pempimpin-Pemimpin BN dan PN.
Menurut sumber, perubahan itu dibuat pada saat-saat akhir berikutan isu pengagihan kerusi yang dikatakan belum selesai.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadual mengumumkan calon mereka bersama UMNO pada majlis itu memutuskan untuk mengadakan majlis berasingan petang ini.
Pada awalnya, pengumuman calon sepatutnya dibuat pada pukul 10 pagi oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Namun majlis berkenaan hanya menyaksikan ucapan daripada Bung Moktar dan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam Ucapan Bung, beliau menjelaskan perkara yang paling sukar untuk diselesaikan adalah isu pembahagian kerusi dalam PRN Sabah.
“Perkara yang paling sukar dalam hidup saya adalah memutuskan agihan kerusi dan tentukan calon-calon. Saya memang tidak ada pengalaman tetapi atas bantuan kawan-kawan dan perjuangan yang ikhlas, alhamdulillah Allah permudahkan,” katanya ringkas.
Menyifatkan ia sebagai peluang kedua untuk UMNO BN mentadbir semula negeri Sabah, Bung Moktar turut menggesa semua pihak berhenti mempertikai soal calon yang dipilih dan meletakkan misi utama di hadapan iaitu menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Soal calon ini adalah kerja tuhan. Jangan ambil kerja tuhan, saya tahu semua hebat, profil pun semua luar buasa. Tetapi kita dah pilih yang terbaik di antara yang terbaik. Kalau baik bagi kami, tapi calon itu tak baik bagi tuan-tuan, terserahlah.
“Kita hanya merancang, tapi perancangan tuhan itu lebih baik,” katanya.
Yang hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Bung Moktar hanya mengumumkan senarai 30 nama yang mewakili UMNO dalam pilihan raya umum berkenaan.
PRN Sabah: BN tanding 31 kerusi – Senarai calon
https://pakdin.my/prn-sabah-bn-tanding-31-kerusi-senarai-calon/