LABU KUBONG – Niat seorang remaja untuk mencari nenas di sebuah kebun, di sini, terbantut apabila menemui mayat bayi lelaki yang disumbat di dalam sebuah beg.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin, Khairul Azhar Idris, 17, ternampak sebuah beg yang diletakkan di bawah pokok mengkudu berhampiran sebuah rumah kosong di Lorong Tok Lingga, Kampung Sungai Lampam, di sini sebelum bertindak menghampiri beg berkenaan.
Khairul berkata, dia cuba untuk mengangkatnya dan mendapati beg berkenaan agak berat.
“Tanpa membuka beg berkenaan saya terus pulang ke rumah dan memberitahu penemuan barang itu kepada ahli keluarga termasuk abang ipar yang bertugas sebagai anggota polis.
“Mengesyaki sesuatu, kami kembali semula ke tempat tadi untuk memeriksa kandungan beg berkenaan sebelum menemui mayat seorang bayi,†katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Difahamkan, mayat bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan sempurna, dibalut dengan kain batik dan dibungkus dalam sebuah plastik sebelum dimasukkan dalam beg tersebut.
Khairul yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah berkata, insiden itu agak mengejutkan keluarganya yang tidak menyangka akan menemui mayat bayi di kebun mereka.
Hidu bau busuk
Abang Khairul, Saharudin Abu Bakar, 22, mengakui, ketika membuka beg berkenaan, dia terhidu bau busuk.
Bagaimanapun menurutnya, bagi mengetahui isi kandungan beg berkenaan, dia bersama adik iparnya nekad untuk membuka beg berkenaan dan melihat isi kandungannya.
“Apabila adik ipar membuka zip beg itu, kami berdua mula terhidu bau busuk dan dia terus mengambil bungkusan yang diletakkan dalam beg berkenaan.
“Sebaik sahaja plastik itu dibuka, bau busuk semakin kuat dan kami bertindak membuka kain batik lalu terlihat ada kepala bayi,†katanya.
Bimbang dengan keadaan itu, mereka bertindak menghubungi polis.
Saharudin tidak menyangka semak berhampiran kebun ayahnya itu menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab bagi tujuan membuang bayi.
Mati sejak beberapa hari lalu
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, buat masa ini, siasatan lanjut masih dilakukan, bagaimanapun daripada pemeriksaan awal, besar kemungkinan bayi malang berkenaan mati dalam tempoh tiga hingga empat hari lalu.
“Kita masih belum mendapat pengesahan lanjut daripada hospital dan belum dapat dipastikan sama ada bayi itu mati di dalam kandungan atau setelah dilahirkan, tetapi berdasarkan pemeriksaan tiada kecederaan pada tubuh bayi itu,†katanya.
Kok Liang berkata, laporan polis diterima daripada seorang anggota polis dari Cawangan Forensik, Maktab Cheras, Kuala Lumpur yang kebetulan sedang bercuti di rumah keluarga mertua.
Menurutnya, sebaik menyedari bungkusan berkenaan mengandungi mayat seorang bayi, anggota dikenali Nor Azlan Abu Bakar, 28, segera menghubungi Balai Polis Labu Kubong untuk membuat laporan.
Mayat bayi berkenaan di bawa ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Inspektor Yusmaniza Yusoff di talian 013-2022690 atau hotline IPD 05-6222222.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.