Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan penggalak sebelum 1 Mac atau mereka akan hilang status lengkap vaksinasi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata jika gagal berbuat demikian, mereka akan dikira berstatus tidak lengkap vaksinasi dan status berkenaan akan tertera dalam aplikasi MySejahtera.
Katanya, ia membabitkan semua penerima vaksin warga emas tidak kira jenis vaksin pertama dan kedua, serta penerima vaksin Sinovac dewasa.
“Sekiranya tidak, sijil digital itu akan tukar warna kepada putih, maksudnya status vaksinasi penuh tidak lagi diberikan dan sekatan akan dibuat di pintu masuk tertentu.
Bagaimanapun, Khairy berkata, kenaikan mendadak kes Covid-19 tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, meskipun negara kini sedang berdepan ancaman gelombang Omicron yang lebih mudah merebak.
Menurutnya, ia susulan sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap membabitkan populasi yang tinggi.
Katanya, peningkatan kes baharu ini bukan sesuatu yang luar jangka kerana situasi berkenaan disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak seperti yang berlaku di negara lain seluruh dunia.
“Kali terakhir negara kita melaporkan kes lima angka adalah pada 2 Oktober 2021, iaitu empat bulan yang lalu di mana terdapat peningkatan ketara kes baharu harian pada bulan Februari tahun ini.
“Sejumlah 5,566 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada 1 Feb; 5,736 kes pada 2 Feb 2022; 5,720 kes pada 3 Feb; 7,234 kes pada 4 Feb; 9,117 kes pada 5 Februari dan 10,089 kes pada 6 Feb,” katanya.
Khairy berkata, kebanyakan kes juga merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal satu dan dua.
Katanya, buat masa ini, kadar penggunaan katil Covid-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan.