MELAKA: “Ketika itu saya hanya mampu laungkan azan bagi menenangkan ahli keluarga yang ketakutan selepas bumbung rumah diterbangkan angin,” kata Rahmat Alus, 51, antara mangsa yang terjejas akibat ribut di Kampung Belimbing Dalam.
Kediaman, Rahmat antara 70 rumah di dua daerah di negeri ini yang terjejas ekoran cuaca hujan lebat dan ribut, lewat petang Isnin.
Kawasan yang terjejas antaranya di Batu Berendam dan Krubong di daerah Melaka Tengah dan Durian Tunggal, Alor Gajah.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarga termasuk ibu berusia 81 tahun dan anak saudaranya berada di rumah sebelum bumbung bahagian belakang dan bilik diterbangkan angin kira-kira 50 meter ke rumah jiran.
“Sebaik bumbung diterbangkan angin kami sekeluarga terus bergegas keluar rumah dan berlindung di bahagian depan rumah sambil berpelukan.
“Keadaan ketika itu amat cemas selain anak saudara menangis tidak henti kerana ketakutan kerana ini pertama kali kejadian seumpama ini terjadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Shahrul Jaapar, 39, berkata, dia tidak menyangka berdepan dengan situasi cemas itu apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin.
“Ketika itu saya baru pulang mengambil anak saudara dari sekolah agama berdekatan dan cuaca hujan lebat namun tidak menduga akan berlaku kejadian tidak diingini.
“Tiba-tiba sahaja terdengar bunyi kuat sebelum air hujan membasahi dalam rumah dan kami sekeluarga berlari dan berlindung di ruang tamu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, susulan kejadian satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang kediaman mereka terjejas.
“PPS yang dibuka adalah di Balai Raya Belimbing Dalam, Alor Gajah, membabitkan 12 mangsa daripada tiga keluarga.
“Mereka ditempatkan di PPS selepas bumbung kediaman tercabut serta bekalan elektrik terputus,” katanya.