Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi yang ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara di sini sejak 2014, menyambut ulang tahun ke-17 hari ini.
Ulang tahun kelahiran dua ekor panda gergasi itu disambut dengan kek hari jadi istimewa yang diperbuat daripada buah-buahan seperti epal, tembikai dan anggur yang dihiasi dengan beberapa kuntum bunga.
Pasangan panda gergasi itu dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014 selama 10 tahun bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dengan China.
Kedua-dua haiwan itu dilahirkan pada 23 Ogos 2006 di Pusat Panda Wolong, Sichuan, China dan tiba di negara ini pada 21 Mei 2014, yang kemudiannya ditempatkan di GPCC yang dibina khas.
Setakat ini, pasangan panda gergasi itu yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, memiliki tiga ekor anak iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.
Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dalam ucapannya berkata kejayaan membiakkan panda gergasi ini menyumbang kepada usaha pemuliharaan spesies ikonik itu.
“Perjalanan panda gergasi ini ialah satu kisah yang melibatkan penyokong pemuliharaan, penyelidik dan individu berdedikasi yang telah memberikan semangat mereka untuk memastikan kemandirian spesies luar biasa ini.
“Ia juga kisah yang membangkitkan perasaan dengan nilai bersama negara, komitmen bagi pembangunan mampan dan kesejahteraan semua makhluk hidup,” katanya..
BACA juga: