Dagangan Bursa Malaysia tinggi pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini - pakdin.my

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang positif.

Pada 9.30 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.52 mata kepada 1,445.63 daripada 1,440.11 pada penutupan dagangan Rabu, selepas dibuka pada paras 1,440.11, meningkat 1.41 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 280 berbalas 202, manakala 302 kaunter tidak berubah, 1,567 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 741.78 juta unit bernilai RM205.79 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI merosot pada Rabu apabila pelabur mengambil peluang untuk mengambil keuntungan atas kebimbangan mengenai keadaan ekonomi China.

“Walaupun pembetulan itu dianggap sihat, kami menjangkakan lantunan segera akan berlaku kerana aktiviti memburu saham murah akan muncul dalam masa terdekat. Justeru, indeks utama diunjur berlegar dalam julat 1,440-1,450 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM9.01, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menokok satu sen menjadi RM4.09 dan RM6.81 sementara CIMB meningkat empat sen kepada RM5.62 dan TNB mengembang tiga sen menjadi RM10.02.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan CN Asia peroleh setengah sen kepada 5.5 sen dan 24.5 sen, Reach Energy meraih satu sen kepada 4.5 sen, Hong Seng turun setengah sen menjadi lima sen dan Perdana Petroleum dan Parkson masing-masing susut satu sen kepada 22.5 sen dan 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 36.14 mata kepada 10,672.04, Indeks FBMT 100 naik 37.06 mata untuk mencatatkan paras 10,355.84 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 30.09 mata kepada 10,889.88.

Indeks FBM 70 pula peroleh 40.4 mata menjadi 14,159.97, dan Indeks FBM ACE meningkat 0.34 mata kepada 5,285.48.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.25 mata kepada 825.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.04 mata kepada 168.39 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 56.27 mata kepada 16,239.26 manakala Indeks Perladangan merosot 5.21 mata kepada 6,957.87.

UTAMAEKONOMIDagangan Bursa Malaysia tinggi pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium