Krisis Air Bakal Jahanamkan Ekonomi Selangor
Tidak berapa lama dulu Kulim Hi-Tech Industrial Park (KHTP) di Kedah pernah di timpa dengan masalah bekalan air bersih yang pada peringkat awalnya menyebabkan banyak pelabur menanggung kerugian kerana terpaksa menghentikan operasi kilang mereka secara berkala.
Apabila masalah bekalan air bersih masih berterusan disebabkan sikap sambil lewa kerajaan PAS Kedah, akhirnya para pelabur mengambil keputusan drastik menutup operasi masing-masing menyebabkan beratus-ratus pekerja hilang mata pencarian.
Sedangkan sejak KHTP dibangunkan pada 1996, sekurang-kurangnya RM23 bilion nilai pelaburan asing berjaya dibawa masuk sekaligus membantu meningkatkan aktiviti ekonomi negeri dan rakyat.
Namun setelah pembangkang (PAS) mengambil alih kerajaan negeri, kawasan industri tersebut mula layu disebabkan ketidak mampuan kerajaan negeri mengurus tadbir dengan baik termasuklah gagal menyelenggara bekalan air untuk kegunaan kilang-kilang di kawasan tersebut.
Semacam sudah menjadi badi dikalangan pemimpin Pakatan Pembangkang apabila diberi peluang memerintah negeri, mereka akan menjadi seperti ‘tikus membaiki labu’, mengubah itu ini sesuka hati konon atas sebab untuk penjimatan atau tambah baik perkhidmatan, tapi akhirnya bukan kebaikan yang diperolehi sebaliknya banyak mengundang bala dan menjahanamkan.
Apa yang terjadi di KHTP tidak mustahil bakal berulang di Selangor kerana polisi dan dasar kerajaan negeri Selangor hampir sama dengan kerajaan Kedah – gemar mengubah perancangan asal pembangunan kemudian banyak beretorik bermain politik tanpa mengambil kira kesannya pada rakyat dan ekonomi.
Apabila MB Selangor, Khalid Ibrahim dari PKR secara rasmi dua tahun lalu menolak pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (langat 2) dengan alasan untuk penstrukturkan semula bekalan air bersih, kesan negatifnya kini sedikit demi sedikit mula terasa.
Para pelabur mula menjauhkan diri, yang mana sudah bersetuju sebelum ini untuk membina kilang operasi mereka, kini masing-masing mengambil keputusan samaada membatalkan atau menangguhkan dulu pelaburan kerana ragu dengan sistem bekalan air di negeri ini.
Angka terkini menunjukkan Selangor telah kehilangan sekurang-kurangnya 138 syarikat swasta dan pelabur asing dengan nilai pelaburan berbilion RM dan sepatutnya mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada 12,000 orang.
Mudah untuk Khalid Ibrahim ataupun pemimpin pakatan pembangkang yang lain berkata projek Langat 2 atas alasan bekalan air mentah mencukupi sehingga tahun 2019.
Tapi, kilang mana yang sanggup menggunakan bekalan air mentah dari lombong atau sungai untuk menjalankan operasi kilang mereka?
Isu sekarang bukannya soal air mentah masih memenuhi empangan atau sungai, sebaliknya isu sekarang ialah bekalan air bersih yang telah dirawat untuk kegunaan rakyat dan kilang-kilang.
projek Langat 2 bukan sekadar tambahan satu loji baru yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air bersih untuk disalurkan kepada pengguna di seluruh Lembah Klang, ia juga satu perancangan jangka masa panjang yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat dan pembangunan ekonomi Selangor.
Tapi, perkara sebegini sukar difahami oleh pemimpin-pemimpin negeri yang lebih selesa beretorik mencipta polemik politik.
Mereka hanya nampak banyak air di empangan tapi gagal memahami isu asas yakni sebahagian besar loji rawatan air sudah beroperasi melampaui kemampuan sebenar. Mahu tidak mahu, loji rawatan air yang baru tetap diperlukan dan penyelesaian jangka masa panjangnya ialah Langat 2.
Namun disebabkan Khalid Ibrahim terasa terlebih cerdik, tanpa berfikir panjang ditolaknya pembangunan loji rawatan air yang baru di Sungai Langat. Dua tahun berdolak dalik gagal mencari penyelesaian, masuk angin keluar asap.
Kesannya nanti sekiranya krisis air mula meluas ke seluruh Lembah Klang, bukan sahaja ekonomi Selangor akan jahanam, silap-silap pelabur asing pun akan menjauhi Malaysia.